Tempatan

Program Mukhayyam JAKIM Bersifat Mendidik Dan Sukarela – Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 OGOS 2022 – “Program Mukhayyam yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) adalah jelas bersifat mendidik dan sukarela. Ia adalah tanggungjawab agensi agama yang memikul amanah menyampaikan dakwah kepada masyarakat,” ujar Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Menurutnya, sebarang pembiayaan yang melibatkan pendidikan dan dakwah adalah baik dan perlu disokong semua pihak tanpa prejudis.

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan Human Rights Watch (HRW), sebuah badan hak asasi antarabangsa yang meminta pihak berkuasa Malaysia supaya menghentikan terapi “penukaran” yang melibatkan komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) termasuk kem mukhayyam yang disifatkan sebagai membawa kepada kemudaratan seperti buli dan bunuh diri berdasarkan laporan yang diterima mereka.

Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berpandangan, setiap proses pendidikan ini tidak boleh sehingga membawa kepada tekanan hidup yang melampau, buli, keganasan dan cubaan bunuh diri, sebaliknya perlu dilakukan dengan ihsan, sabar dan mengambil masa.

“Saya bersetuju jika agensi Kerajaan, badan kehakiman dan masyarakat awam sentiasa diberi pendidikan tentang hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini perlulah difahami dengan betul dan mesti menjaga kepentingan awam sekiranya bertentangan dengan kepentingan individu agar tidak memudaratkan.

Ditanya, apakah pendirian beliau mengenai kenyataan HRW yang telah menyarankan supaya Parlimen meluluskan undang-undang yang membenarkan transgender untuk menukar nama dan jantina pada kad pengenalan mengikut pilihan mereka?

“Seperti yang saya katakan di awal kenyataan, saya bersetuju agensi Kerajaan, badan kehakiman dan masyarakat awam umumnya perlu diberi pendidikan dan kefahaman yang lebih mendalam tentang hak asasi manusia yang sebenar,” ujarnya.

Jelas beliau, setiap perkara itu bagaimanapun, perlulah difahami dengan betul agar tidak menyimpang dari landasannya selain mesti mengutamakan dan menjaga kepentingan awam sekiranya bertentangan dengan kepentingan individu.

Leave a Reply

Back to top button