Tempatan

Lebih 600 Pelajar Palestin Universiti Awam Malaysia Dikecualikan Yuran Pengajian

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEPANG, 16 November 2023 – Lebih 600 pelajar Palestin di universiti awam Malaysia akan dikecualikan yuran pengajian selama setahun berkuat kuasa serta merta, menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perkara tersebut dimaklumkan beliau dalam satu sidang media selepas merasmikan Global Higher Education Forum 2023, semalam.

Menurutnya, perbincangan dengan universiti swasta turut akan diadakan bagi memberi pengecualian yuran untuk tempoh setahun kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk memberi elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar universiti awam dan universiti swasta (Palestin) dan semua ini (pengecualian yuran dan elaun bulanan) akan membabitkan kos kira-kira RM20 juta hasil sumbangan daripada universiti awam, swasta dan orang ramai,” katanya.

Kata beliau, maklumat lanjut mengenai pengecualian yuran pengajian dan elaun bulanan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jelas Mohamed Khaled, pelajar Palestin yang melanjutkan pengajian sudah tentu terkesan dengan konflik yang berlaku di bumi Gaza.

Katanya, dengan konflik yang berlaku keadaan pembelajaran mereka mungkin terputus dan mereka juga berkemungkinan tidak lagi mendapat sokongan pembiayaan daripada keluarga mahupun penaja.

Beliau sebelumnya memaklumkan, terdapat lebih 800 pelajar Palestin sedang menuntut di Malaysia dengan lebih 200 di universiti swasta dan selebihnya di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: