Tempatan

PROGRAM KELUARGA HARMONI “WE LOVE WE CARE” PPIM BERSAMA AADK

KENYATAAN MEDIA

PROGRAM KELUARGA HARMONI “WE LOVE WE CARE”
PPIM BERSAMA AADK

Kuala Lumpur – Wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia terus memberi impak besar buat kita semua. Ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan. Oleh yang demikian, bagi meringankan ujian ini kepada mereka yang terkesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di bawah selian Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan PROGRAM KELUARGA HARMONI “WE LOVE WE CARE” PPIM BERSAMA AADK pada 10 Mac 2021 bagi menyantuni Orang Kena Pengawasan (OKP) yang turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti Surau Al-Barakah (Menara Bank Rakyat), Barokahworks, Balqis Textile And Manufacturing Sdn Bhd, sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Malakat Mall, Persatuan Usahawan Wanita Dan Keusahawan Agro (WEAGRO), Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Yayasan PATRIOT, Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.

Orang Kena Pengawasan, adalah mana-mana individu yang sama ada telah diperintahkan oleh mahkamah atau secara sukarela menjalani rawatan di pusat pemulihan. Selepas tamat tempoh pemulihan, individu tersebut berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah. Kebiasaannya dalam tempoh dua tahun selepas menjalani rawatan atau pemulihan, melalui Program Rintis.

PROGRAM KELUARGA HARMONI “WE LOVE WE CARE” PPIM BERSAMA AADK hari ini adalah bertujuan menyantuni OKP di kawasan PPR Air Panas Setapak, PPR Sungai Bonus dan PPR Gombak Setia. Adalah diharap agar program ini akan membawa sinar kegembiraan dan rasa prihatin bagi semua yang telibat. Turut hadir adalah Pengarah Wilayah Kuala Lumpur AADK – Encik Md Razif Bin Wan.

“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama – sama menghadapinya dan membantu saudara – saudara kita. Oleh yang demikian PPIM bersama-sama beberapa organisasi, penaja & penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan. Berdasarkan maklumbalas yang kami terima dari penyelaras, OKP juga merupakan golongan yang tidak terkecuali berhadapan saat getir ini. Mereka sangat memerlukan sumbangan bantuan dengan kadar segera terutama bagi mereka yang merupakan golongan ASNAF dan B40. Kami berusaha bersama-sama menguruskan untuk menghantar bantuan sumbangan dan beberapa keperluan pada tarikh yang dinyatakan di atas.” – Datuk Nadzim Johan (Pengerusi – PPIM).

“Kami mahu OKP dan keluarga yang disantuni merasakan ada yang masih peduli dan mereka sentiasa diterima oleh masyarakat khususnya. Fokus bagi menyalurkan bantuan sumbangan juga agar OKP dan keluarga dapat kembali kepada kehidupan asal dan diterima oleh komuniti setempat. Bentuk bantuan yang diberikan adalah berupa Barangan Asas Keperluan Dapur, Kit Ibadah, Produk Asnaf, Roti Gardenia, Baucer Kembali Ke Sekolah dan Sabun Serbaguna INSYIRAH” – Puan Siti Khadijah Hassan Berseri (Ketua Operasi – Unit Kebajikan PPIM).

“Saya merasa sangat bersyukur di atas keperihatinan semua yang hadir. Melalui program seperti ini kami merasakan masih ada yang sayang dan peduli” – Encik Busran (OKP)

Alhamdullilah dengan izin Allah SWT program ini telah mendapat perhatian positif dari pelbagai pihak dan para dermawan, kami berharap agar lebih ramai pihak yang akan terlibat.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button