Prof Jepun Tegur Rakyat Malaysia Yang Tak Yakin Potensi BM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TOKYO, 25 Januari 2022 – “Sebenarnya di Malaysia perspektif penutur Bahasa Inggeris dengan penutur lain-lain bahasa misalnya Bahasa Melayu atau Mandarin sangat berbeza. Dunia mereka berbeza, kerana itu sangat penting untuk mempelajari Bahasa Melayu,” tegas Pensyarah Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo (TUFS) Jepun, Prof Madya Dr Hiroki Nimoto.
Beliau turut mengatakan bahawa mungkin timbul rasa ketidakpercayaan dalam diri warga Malaysia kerana mereka menganggap Bahasa Melayu tidak mempunyai potensi daripada pelbagai sudut. Ini kerana, warga Malaysia merasa begitu kagum apabila melihat orang asing dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.
Ini boleh dilihat berdasarkan sambutan masyarakat Malaysia terhadap bangsa asing yang menggunakan Bahasa Melayu di laman sosial mereka seperti beberapa orang Instafamous terkenal; Rhys William, Mat Dan, Kouji Jepun dan Maryam You Narae.
Hal ini berbeza jika orang Melayu fasih berbahasa Inggeris kerana ia dianggap perkara biasa begitu juga jika mereka fasih dalam Bahasa Jepun.
“Misalnya kalau di negara Jepun, ramai orang asing yang muncul di televisyen fasih bertutur dalam bahasa Jepun, ia bukan hal luar biasa.”
“Namun jika hendak membandingkan kekuatan dan kedudukan Bahasa Melayu dan Jepun ia tidak adil. Ini kerana semua itu didorong oleh faktor sejarah dan penjajahan yang mana mempengaruhi kedudukan Bahasa Melayu,” jelas Prof Madya Dr Hiroki Nimoto dalam Program Syarahan Darul Iman 3: Megar Bahasa Melayu dari Jendela Matahari Terbit yang disiarkan dalam Facebook rasmi Universiti Malaysia Terengganu.
Pensyarah Bahasa Melayu itu turut berbesar hati berkongsi pengalaman beliau mempunyai seorang pelajar yang pernah menetap di Malaysia selama lima tahun tetapi tidak berpeluang untuk mempelajari Bahasa Melayu kerana penekanan terhadap Bahasa Inggeris ketika di sekolah.
“Kerana minat, dia menyambung pengajian dalam Bahasa Melayu apabila kembali ke Jepun.”
Pada pandangan Prof Madya Dr Hiroki Nimoto, setiap bahasa mempunyai kekuatan tersendiri dan Bahasa Inggeris bukanlah segala-galanya. Malah, ia tidak mampu untuk membantu memahami dunia secara keseluruhannya.