Iqtisad Pribumi

Produktiviti Tanpa Produk, Cakap Muluk Ekonomi Dengan Sel Otak Tak Berhubung – Hezri Sardi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Produktiviti, Industri

Ketua Armada Bersatu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal menyebut tentang “Premature deindustrialization” iaitu bagaimana negara kita telah meninggalkan sektor kilang terlalu awal. Kita pergi lompat ke sektor IT, sektor perkhidmatan. Setiap kali ada trend baru, kita tergesa-gesa ikut melompat. Bila kita sesat, tersilap, mesti patah balik ke pangkal jalan. Kena kembali ke sektor perkilangan.

Menurut pengamatan saya, kenapa kita tak dapat kembali ke asas, iaitu membangun sektor kilang kerana kita suka acah-acah pandai. Suka membincang konsep-konsep yang “vague”, yang tak jelas. Yang penting nampak macam bijak. Allah selamatkan saya daripada sikap sebegitu kerana saya tak tinggalkan logik. Misalnya, apa yang dipanggil sebagai bidang ilmu ekonomi, saya tak akan teragak-agak untuk buang bidang itu ke dalam tong sampah jika ia bercanggah dengan logik.

Dalam isu industri ini, saya ambil satu contoh. Yang amat asas dan penting. Iaitu Produktiviti. Ia satu istilah tetapi sama ada ia betul atau salah bergantung kepada macam mana kita lihat produktiviti.

Sama macam kita nak ukur sesuatu objek. Katakan ada satu barang berbentuk kotak. Kalau kita letak atas alat timbang, ia tunjuk berat sebanyak “20 kilogram”. Pada masa kita ambil pembaris untuk ukur. Tinggi 20 cm, panjang 20 cm, lebar 20 cm. Maknanya isipadu ialah 8,000 cm3 (cm padu). Sama ada berat mahupun isipadu ialah ukuran fizik. Yang bagusnya ukuran fizik ini, ia jelas. Isipadu adalah perkara berbeza daripada berat. Isipadu adalah kandungan dalam kotak manakala berat melibatkan graviti.

Masalahnya ukuran Produktiviti tidak jelas seperti itu. Misalnya, Produktiviti boleh diukur daripada segi berapa banyak barang dikeluarkan oleh kilang dan lombong di sesebuah negara. Ini ialah definisi asal Produktiviti ekonomi jika ikut mazhab ekonomi terawal seperti Physiocrats dan lain-lain. Kemudian, Produktiviti diukur pula daripada segi berapa jam bekerja. Lagi lama kerja, lagi tinggi Produktiviti. Tapi ini definisi longgar kerana kalau kilang bekerja 10 jam untuk hasilkan 10 barang. Kemudian, dia bekerja 50 jam untuk hasilkan 10 barang. Maknanya, walaupun kerja lebih lama, kilang itu rugi kerana Produktiviti tak naik.

Kalau banyak orang bekerja berjam-jam dalam perkhidmatan E-Hailing, tiada barang tambahan dikeluarkan. Walaupun mereka bekerja berjam-jam, tiada Produktiviti sebenar.

Masalah dalam kefahaman Produktiviti ialah apabila definisi dilonggarkan seperti contoh tadi.

Kedua, apabila ada orang yang acah-acah pandai mahu memasukkan konsep metafizik dalam Produktiviti. Misalnya, harta intelek. Dan kreativiti. Konsep metafizik tak dapat diukur. Untuk diukur, metafizik mesti ada unit ukuran. Macam meter dan kilogram. Apabila orang yang acah-acah pandai cuba mengadaptasi metafizik ke dalam Produktiviti, mereka selalunya terlepas pandang. Tiada hubungan logik. Kerana mereka sebut kreativiti dan intelek, tetapi benda itu tiada ukuran. Memang sebut istilah kreativiti dan intelek mahupun IR 4.0 dan Artificial Intelligence (AI) memang seronok tapi akhirnya ia tetap kena keluarkan barang yang boleh diukur. Masalah metafizik dalam Produktiviti ialah ia tergantung.

Kilang dan industri keluarkan banyak benda yang dapat diukur. Tak macam, misalnya sektor perkhidmatan. Masalahnya apabila kita tergesa-gesa tinggalkan perkilangan, kita mencipta cara berfikir yang tergantung.

Sekarang ini nilai matawang ringgit jatuh teruk. Oleh sebab kita terbiasa dengan cara fiikir tergantung, yang “vague”, kita tak dapat faham yang masalah matawang hanyalah masalah berapa barang masuk keluar sempadan negara. Kita import atau bawa masuk barang keperluan dari luar, tapi sebenarnya itu hanya berlaku jika kita berjaya tukarkan import itu dengan eksport barang ke luar. Sesetengah ahli ekonomi panggil konsep ini sebagai “manfaat” (benefit) atau “kebajikan” (welfare). Kekayaan sesuatu negara bergantung kepada berapa banyak manfaat / kebajikan yang dibawa masuk untuk setiap barang dibawa keluar.

Ini adalah persoalan yang dibincangkan dan diselesaikan oleh Jepun pada awal permodenan Meiji dan sekali lagi selepas Perang Dunia ke-2. Mereka bukan asalnya eksport untuk dapatkan untung. Mereka terpaksa import barang keperluan dan untuk beli dari luar, mereka kena eksport. Lagi banyak keperluan, eksport akan ikut naik. Strategi mereka ialah bagi setiap barang dieksport, berapa banyak barang dapat dibawa masuk. Itu ialah matlamat industri dan perdagangan.

Ekonomi perkhidmatan dan ekonomi gig tidak menyelesaikan ini.

Misalnya, dulu untuk 1 barang yang dijual keluar, 10 barang dapat dibawa masuk. Kalau sekarang, 1 barang eksport dapat diguna untuk bawa masuk 20 barang luar, maknanya Produktiviti dalam perdagangan kita bagus. Tapi sebaliknya jika untuk 1 barang dieksport, barang diimport berkurang ke 5, maka Produktiviti perdagangan jatuh. Bila kita terus lompat ke nilai ringgit-dolar saja, maka pemikiran kita tergantung. Tapi jika kita lihat bilangan barang import eksport, barulah nampak logik.

Apabila seperti Wan Fayhsal sarankan supaya kita kembali ke industri, maka kita pergi balik kepada fikiran logik dan tidak tergantung. Tak salah untuk sesiapa membangunkan konsep metafizik tapi masalahnya ia cenderung buat fikiran kita tergantung. Cakap macam muluk-muluk tapi sel-sel otak sebenarnya tak berhubung.

Walaupun kita bercakap pasal ekonomi, pasal industri, tapi sebenarnya kita masuk dalam ke perkara lebih asas. Seperti logik dan unit ukuran. Ahli ekonomi, Piero Sraffa terkenal kerana mengajak kita menghubungkan logik melalui kaedah Perindustrian. Tajuk buku dia pun “The Production of Commodities by Means of Commodities”. (Pengeluaran Barang Melalui Pemprosesan Barang Lain).

Hezri Sardi

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: