PRN Pulau Pinang, “Kerusi Majoriti Melayu Bakal Dimenangi PN” – Penganalisa
PULAU PINANG, 01 April 2023 – “Perikatan Nasional (PN) akan memenangi lebih banyak kerusi Melayu,” ujar penganalisa politik, Azizi Safar berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di Pulau Pinang pertengahan tahun ini.
Lapor media tempatan, walaupun pertukaran Kerajaan di Pulau Pinang tipis kerana sokongan kuat negeri itu kepada DAP, Azizi mengingatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengambil mudah kerusi Melayu memandangkan PN meraih undian tidak dijangka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, persaingan tersebut akan menjadi sengit sekiranya corak dan sentimen pengundian berterusan mengikut trajektori yang sama seperti PRU tahun lepas.
BACA JUGA: Pihak Berkuasa Perancis Tolak Kemasukan Imam Dan Ulama Maghribi
BACA JUGA: Bufet Ramadan: Dua Hotel Diarah Tutup, 46 Kompaun Diberikan Penguatkuasa Kesihatan
BACA JUGA: 41 Rangka Manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia
Tambah beliau, walaupun pemimpin PN seperti Muhyiddin Yassin dan Wan Saiful Wan Jan menerima pertuduhan, beliau berpendapat bahawa ianya tidak mungkin menjejaskan sokongan kepada pihak pembangkang Persekutuan, sebaliknya sokongan dijangka akan meningkat.
Dalam pada itu, beliau berpendapat, tanpa komponen Melayu yang kuat, PH mungkin menghadapi kesukaran di kawasan majoriti Melayu. Negeri itu juga tidak terkecuali daripada peralihan sokongan kepada PN, seperti yang berlaku apabila Nurul Izzah Anwar tewas kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Permatang Pauh.
Di samping itu, Azizi juga berkata, sukar bagi UMNO untuk memimpin parti kerajaan meraih undi Melayu kerana parti itu bergelut dengan sokongan Melayu.
Ujar beliau, “PKR memegang lebih banyak kerusi berbanding UMNO pada masa ini. Jadi ia berada di bawah tekanan yang lebih untuk menyampaikan daripada UMNO.”
Mengulas lanjut, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut memaklumkan bahawa BN dan PH mempunyai masa sebulan untuk membincangkan peruntukan kerusi PRN kali ini.
Kata Azizi, mungkin UMNO diberi tiga hingga lima kerusi, manakala MCA dan MIC tidak diberi sebarang kerusi untuk bertanding.