PRN: MCA & MIC Bakal Dikesampingkan, Kata Pakar
GEORGE TOWN, 20 Jun 2023 – Jalan yang paling bijak untuk parti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) ialah mengambil peranan sokongan, dan bukannya menuntut kawasan untuk bertanding, kata Profesor Pengajian Asia dari Universiti Tasmania, James Chin.
Menerusi laporan portal tempatan, James menyifatkan kedua-dua komponen BN itu masih lemah dan bergelut untuk kekal relevan dalam Kerajaan yang kini merangkumi DAP.
Ujarnya, “Adalah amat sukar bagi mereka untuk menuntut mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri, dan walaupun mereka diberi kerusi, ia akan menjadi sangat sukar untuk mereka menang.”
BACA JUGA: Cuaca Panas: JPS Perak Laksana Catuan Air
BACA JUGA: Kapal Selam Pelancong Titanic Hilang, Pencarian Diteruskan
BACA JUGA: AMARAN: Taktik Scam Guna Waran Tangkap Palsu – Polis Perak
Bahkan, James berpendapat, kepimpinan Pakatan Harapan juga percaya kedua-dua komponen itu tidak akan mampu menjana sebarang sokongan ketara kepada gabungan tersebut.
Lanjutan itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri perlu dijalankan secara realistik.
“Jika kita lihat pada Pilihan Raya Umum sebelum ini, MCA dan MIC diberi kerusi tetapi mereka gagal meraih sokongan jadi ini harus menjadi pengajaran kepada mereka,” katanya.
Tegas beliau, kedua-dua parti harus menerima kelemahan mereka sekali gus membenarkan PH dan UMNO membuat keputusan mengenai rundingan kerusi.
Mengulas mengenai potensi sabotaj, James berkata, dua parti itu tidak menjadi ancaman besar. Sebaliknya, lebih baik MCA dan MIC memastikan rakan BN mereka menunjukkan prestasi cukup baik untuk mendapat gabungan lebih berpengaruh dalam Kerajaan Perpaduan.
Enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka diadakan serentak pada Julai atau Ogos selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada akhir Jun ini.