PRN: 661, 905 Pengundi Muda Lingkungan 18-20 Tahun
KUALA LUMPUR, 06 Julai 2023 – Seramai 661,905 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun akan turut serta mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan 12 Ogos ini.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Selangor mencatatkan pengundi muda teramai iaitu sebanyak 274,194 orang berbanding di negeri lain.
BACA JUGA: JAGA-JAGA: Hujan & Ribut Petir Dijangka Landa Beberapa Negeri Tiga Hari Berturut
BACA JUGA: Kepala Air: 39 ‘Hotspot’ Dikenal Pasti APM Kedah
BACA JUGA: Kepala Air Langgar Kampung, Jam 2 Pagi
Seterusnya kumpulan pengundi muda bagi had umur itu tertinggi diikuti di Kedah iaitu 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017).
Sementara itu, daftar pemilih sama menunjukkan pengundi berusia 21 hingga 29 tahun menjadi kumpulan paling ramai di keenam-enam negeri berkenaan dengan jumlah 2,169,120 pengundi, diikuti pengundi berusia 30 hingga 39 tahun (2,163,982 orang).
Manakala pengundi yang berusia di antara 40 hingga 49 tahun adalah yang ketiga tertinggi yang dijangkakan akan turun mengundi dalam Pilihan Raya Negeri itu, dengan jumlah mereka secara keseluruhan adalah 1,695,876 orang.
Seterusnya, jumlah para pengundi berdaftar yang berusia di antara 50 hingga 59 tahun pula adalah seramai 1,380,446 orang.
Bagi kumpulan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas pula, seramai 28,991 layak mengundi dengan Selangor mempunyai 8,638 orang, diikuti Pulau Pinang (6,152), dan Kedah (4,799).
Secara keseluruhan, PRN itu membabitkan seramai 9,773,571 pengundi dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.
Dengan kos RM420 juta bagi pelaksanaan PRN berkenaan, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam 11 Ogos 2023.