PRN-15: Ahli Politik Islam Diingatkan Agar Tidak Ekstrem Dan Terlalu Taksub – Mufti Pulau Pinang
GEORGETOWN, 19 Julai 2023 – “Secara khusus bagi ahli politik beragama Islam, saya suka memperingatkan supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taksub,” tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) tidak lama lagi.
Ujar beliau, “Sempena dengan musim pilihan raya enam buah negeri yang semakin hampir tiba, saya mengajak semua ahli politik supaya menggunakan pendekatan sederhana dan berhemah dalam menjalankan kempen untuk menarik sokongan pengundi terhadap parti masing-masing.”
BACA JUGA: Awal Muharram: Kiswah Kaabah Ditukar Dengan Bantuan 7 Kren
BACA JUGA: Mossy Forest Ditutup Sementara Waktu
BACA JUGA: ‘Akta Negara Bangsa’ Tangani Isu 3R Di Malaysia – Azalina
Beliau berkata, semua ahli politik perlu menggunakan pendekatan berhemah ketika berkempen di 6 negeri terbabit untuk menarik sokongan pengundi terhadap parti masing-masing.
“Berkempenlah secara bersopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, jangan mencerca, maki hamun dan memfitnah mana-mana individu hanya kerana perbezaan pegangan politik.”
Jelasnya, perbezaan fahaman politik adalah perkara biasa bahkan tidak sepatutnya menjadi senjata perpecahan umat Islam sebagai saudara seakidah.
Wan Salim turut mengingatkan agar tidak mendoakan kebinasaan terhadap saudara seagama atau sesama senegara walaupun berbeza agama. Beliau menambah, semua pemimpin perlu berpolitik secara matang sebagai masyarakat bertamadun dan yang mendokong sistem demokrasi.