Prinsip Kedaulatan Watan Struktur Asas Utama Perlembagaan – Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Prinsip kedaulatan merupakan kayu pengukur (yardstick) kepada syarat pematuhan kedaulatan Undang-Undang dalam sistem Perlembagaan sesebuah negara.
Sistem Perlembagaan menurut sarjana jurisprudens Venter terbina oleh tiga elemen iaitu falsafah, doktrin dan prinsip. Ketiga-tiga elemen tersebut tidak boleh dilihat secara berasingan dalam pentafsiran Undang-Undang.
Dalam kaedah pentafsiran Undang-Undang Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan menerima kaedah yang digariskan oleh Mahkamah Agung Kanada bahawa berdasarkan peruntukan asas Perlembagaan sesebuah negara terdapat struktur asas Perlembagaan yang dilandaskan pada pelbagai peruntukan apabila dilihat secara keseluruhannya yang saling berkait antara satu sama lain.
Sebagai contohnya kuasa kehakiman (judicial power) yang terletak pada Mahkamah Persekutuan berdasarkan fungsi yang diberikan oleh Perkara 128 dan kehendak Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan (kuasa untuk menentukan bidang kuasa yang betul serta batasan kuasa perundangan dan eksekutif yang dikenali juga sebagai doktrin ultra vires) tidak boleh dilucutkan oleh Perkara 121(1A) secara mutlak. Mahkamah Persekutuan masih diberikan kuasa oleh Perkara 4 dan 128 apabila dirujuk, setakat untuk membuat tafsiran dan memutuskan remedi yang sah sama ada suatu pertikaian itu ditadbir mengikut kuasa yang diberikan oleh Undang-Undang Perlembagaan, tanpa mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Ringkasnya, struktur asas adalah elemen yang digunakan dalam kaedah pentafsiran Perlembagaan oleh Mahkamah untuk memastikan syarat pematuhan prinsip kedaulatan Undang-Undang dan keluhuran Perlembagaan terpelihara. Mahkamah tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memutuskan elemen struktur asas dan pemakaiannya secara bercanggah dengan peruntukan nyata Perlembagaan.
Berdasarkan perbahasan dalam buku berjudul “KEDAULATAN MALAYSIA GOVERNAN UTAMA NEGARA”, terdapat tiga kumpulan elemen yang perlu diberi pertimbangan oleh Mahkamah (terjumlah dalam takrifan struktur asas oleh Mahkamah Persekutuan) sebelum memutuskan sebarang isu Perlembagaan mengikut hirarki seperti yang berikut:
1. Falsafah perundangan dalam Sistem Perlembagaan Persekutuan yang bersifat kontinum (syariah compliance) berlandaskan Perkara 181(1), Jadual IV dan 3.
2. Elemen yang dilindungi secara khusus oleh Perlembagaan Persekutuan berlandaskan Perkara 159(5), 38(4) dan 150(6A).
3. Fungsi khusus yang terletak pada badan perundangan, eksekutif dan kehakiman berlandaskan pelbagai peruntukan dalam Perlembagaannya.
Buat masa ini, perbahasan struktur asas dilihat meletakkan keutamaan kepada kumpulan elemen dalam butiran (3) tanpa memberikan tumpuan khusus dan sewajarnya kepada butiran (1) dan (2) di atas.
Pegawai Mahkamah termasuklah hakim dan peguam perlulah berpandukan pada prinsip kedaulatan Malaysia dan keadaan watan (tempatan) seperti digariskan oleh Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972) agar unsur asing tidak mewajahi keputusan kes di Malaysia.
Kedua-dua panduan tersebut amat penting untuk memastikan prinsip kedaulatan Undang-Undang dijunjung setiap masa oleh pihak berwajib.
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Profesor Madya
Fakulti Pengurusan Industri
Universiti Malaysia Perlis
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my