Presiden Kami Cabut Lari Bawa RM715 Juta – Duta Afghanistan
KABUL, 23 Ogos 2021 – Duta Afghanistan mendesak agar Presiden Ashraf Ghani diberkas segera supaya wang berjumlah $169 juta USD (kira-kira RM715 juta) milik rakyat yang dilarikannya dapat dikembalikan.
Mohammad Zahir Agbar, Duta ke Tajikistan itu menegaskan tindakan Ashraf Ghani itu adalah suatu “pengkhianatan kepada negara dan bangsa”.
“Ashraf Ghani serahkan Afghanistan kepada Taliban begitu sahaja sedangkan kita ada lebih dari 350,000 tentera bersenjata, pasukan terlatih berpengalaman, akan tetapi kita langsung tidak lawan pun Taliban.”
“Ini boleh dilihat di kawasan utara Afghanistan yang bersempadan dengan Tajikistan. Ada lebih 20 daerah di sana. Dan kesemuanya diserahkan pada Taliban tanpa sebarang penentangan,” kata Zahir.
Beliau mengesyaki bahawa Presiden Afghanistan sudah pun mempunyai perjanjian rahsia dengan Taliban. “Dia sudah pun ada rancangan untuk khianat. Dia telah tinggalkan para penyokongnya dan mengkhianati rakyat Afghanistan.”
Presiden itu telah memperdayakan rakan-rakannya bahawa beliau sedang menuju untuk menghadiri mesyuarat ketenteraan sebelum melarikan diri ke luar negara, dedah seorang Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen tersebut, Elay Ershad menyifatkan perbuatan ketuanya yang melarikan diri dengan helikopter dari kediaman presiden itu sebagai pemimpin yang “pengecut”.
Elay berkata, “Dia kata, ‘saya nak ke kementerian pertahanan untuk bermesyuarat di sana sebentar’, dan kemudian dia menghilang dari istana.”
“Dia malah menghantar beberapa pengawalnya untuk menantinya di kementerian pertahanan, tetapi dia pergi ke tempat lain… dengan helikopter.”
“Saya sangat marah kepadanya. Saya anggap dia sebagai pengecut… dia tergamak tinggalkan rakyatnya, dan dia tinggalkan negaranya.”
“Saya sangat marah dan tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan bagi menggambarkan kemarahan itu. Saya tak tahu kenapa saya boleh percaya dia dan mengundi dia.”
Sambungnya lagi, “Saya berharap dia akan kembali… saya harap dapat merenung ke matanya lalu katakan padanya, ‘Saya adalah seorang wanita dan saya tetap di sini, tetapi kau cabut lari.'”