Presiden Iran Selar Amerika Jaguh Huru-Hara Dan Sabotaj
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
IRAN, 17 Oktober 2022 – Presiden Iran, Ebrahim Raeisi telah mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) dalam memberi sokongan terhadap pemberontakan yang sedang berlaku di Iran.
Beliau turut menyatakan bahawa kebanyakan tindakan sabotaj, pembunuhan serta pemberontakan di rantau itu adalah daripada hasil kerja AS. Menurutnya,
“Kenyataan terbaharu yang datang daripada Presiden AS, yang merupakan sebab bagi huru-hara, pembunuhan serta kemusnahan yang berlaku di negara lain telah mengingatkan kami akan kata-kata pengasas Republik Islam ini, yang mana beliau memanggil AS sebagai ‘syaitan yang besar’.”
Presiden Iran itu membuat kenyataan demikian ketika menyertai mesyuarat ahli kabinet pada Ahad lalu.
Kenyataan beliau dibuat dalam menzahirkan tindak balas terhadap kenyataan Biden yang mendakwa bahawa beliau terkejut apabila mengetahui bagaimana tindakan rakyat Iran terhadap kematian Mahsa Amini, dan menyatakan sokongan beliau dan negara AS terhadap pemberontakan itu dengan menyatakan,
“…kami bersama dengan rakyat Iran, betul-betul bersama mereka.”
Pada kenyataan lain, Presiden Iran turut menyatakan bahawa punca asal bagi kebanyakan perbuatan sabotaj, pembunuhan dan huru-hara yang berlaku di rantau tersebut apabila diperiksa, mereka mudah sekali menemui kesan tindakan dan perbuatan jahat AS, sebagai punca dalam hal terbabit. Katanya lagi,
“Iran sangat mengetahui mengenai musuh dan cara mereka bertindak, dan pada kali ini Iran akan sekali lagi menghalang musuh daripada mencapai sasaran mereka dan Iran akan terus berkembang maju.”