PREROGATIF YDP AGONG UNTUK MENGGUBAL ORDINAN SEMASA DARURAT – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Sistem Perlembagaan di Malaysia menjunjung prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Sistem demokrasi boleh diamalkan tertakluk pada prinsip ketinggian Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Raja-Raja.
Yang di-Pertuan Agong ialah pemerintah tertinggi Persekutuan yang terletak pada Baginda kuasa eksekutif Persekutuan, entiti teratas dalam Badan Perundangan Persekutuan malah pentadbiran keadilan dibuat atas nama Baginda. Dalam pada itu, fungsi kuasa Baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan, tanpa menjejaskan prinsip kedaulatan Raja-Raja.
Sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan yang merdeka, terdapat sebuah Majlis Raja-Raja yang berperanan untuk memelihara struktur asas Perlembagaan Persekutuan. Struktur asas Perlembagaan terkandung dalam Perkara 38 dan Perkara 159(5) yang tidak boleh dipinda tanpa mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.
Secara nyata terdapat tiga cabang kuasa utama di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, iaitu legislatif, eksekutif dan Kehakiman. Setiap cabang tersebut mempunyai fungsi dan takat bidangkuasa masing-masing mengikut peruntukan Perlembagaan.
Dalam tempoh darurat, Yang di-Pertuan Agong dibenarkan oleh Perlembagaan untuk melaksanakan kuasa prerogatif selaras dengan kedudukan Baginda sebagai pemerintah tertinggi Persekutuan dan prinsip sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Prerogatif yang dibenarkan itu membolehkan Yang di-Pertuan Agong melindungi prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) dan Sumpah Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat dan menggubal ordinan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan begitu terserlah berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
1. Proklamasi darurat merupakan prerogatif Raja turun-temurun sejak zaman dahulu kala;
2. Kuasa perundangan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan dua buah Majlis Parlimen seperti dinyatakan dalam Perkara 44;
3. Prinsip Tadbir urus yang baik dalam Perlembagaan menetapkan doktrin pemisahan kuasa di bawah YDPA;
4. Perkara 150 jelas memperuntukkan prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat setelah Baginda berpuas hati.
5. Seiring dengan prerogatif untuk membuat proklamasi darurat, Baginda dibenarkan untuk melaksanakan kuasa prerogatif untuk menggubal ordinan mengikut budibicara Baginda, tanpa terikat dengan nasihat pihak eksekutif;
6. Permintaan darurat dan ordinan boleh dikemukakan oleh Jemaah Menteri, peguam negara atau pihak-pihak berwibawa, tetapi kata akhirnya diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong;
7. Proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak juga dalam mana-mana prosiding di mahkamah;
8. Perkara 150(8) secara nyata memperuntukkan ketinggian prerogatif Yang di-Pertuan Agong semasa darurat; dan
9. Tadbir urus yang baik suatu proklamasi darurat dan ordinan termaktub dalam peruntukan-peruntukan di bawah Perkara 150.
Ada pihak cuba menidakkan ketinggian Perkara 150(8) dengan membangkitkan kes yang diputuskan sebelum penggubalan Perkara 150(8). Suatu keputusan Mahkamah tidak boleh bercanggah dengan prinsip atau peruntukan Perlembagaan. Mahkamah hanya boleh mentafsir dan memutuskan kes berdasarkan prinsip undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, ada pihak yang mendakwa Perkara 40(1) Perlembagaan tidak boleh digantung kerana kuasa sebenar untuk menggubal ordinan darurat itu terletak pada Jemaah Menteri. Kononnya Yang di-Pertuan Agong hanya memiliki kuasa terbatas kerana kedaulatan sebenar pada Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat, maka itulah demokrasi berparlimen di Malaysia, kata mereka.
Dalam sebuah Persekutuan yang menjunjung ketinggian Perlembagaan Persekutuan, nasihat eksekutif tidak mutlak. Suatu nasihat adalah tertakluk pada keluhuran perlembagaan dan prinsip kedaulatan. Dari sudut ini, bukan sahaja siapa yang memberi nasihat dilihat tetapi apakah “subject matter” yang dinasihati itu. Nasihat itu perlulah sah di sisi Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan prinsip undang-undang.
Dakwaan bahawa Jemaah Menteri berkuasa menggubal ordinan secara mutlak atau Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak mengikut nasihatnya tanpa ada pilihan lain adalah bercanggah dengan prinsip yang dinyatakan oleh Perkara 44, Perkara 181(1) dan Perkara 37. Begitu juga halnya dengan pengalaman lepas apabila MAGERAN diwujudkan untuk mengambil alih fungsi Jemaah Menteri selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969. Fungsi Jemaah Menteri telah digantung oleh ordinan darurat. Justeru dakwaan Perkara 40(1) tidak boleh digantung melalui ordinan darurat adalah juga bercanggah dengan amalan di Malaysia.
Pihak yang cuba menyangkal prerogatif Yang di-Pertuan Agong sekian lama mengabaikan satu fakta penting bahawa prinsip kedaulatan negara kita tidak sama dengan England. Kedudukan Raja England sebagai pemerintah tertinggi dan ketua agama, begitu juga Jemaah Menteri England dalam kerangka Westminster dari sisi Perlembagaan dan sejarah perundangan Tanah air kita begitu jauh berbeza.
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kewajipan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37 untuk memelihara agama Islam, pemerintahan yang adil, keamanan di dalam Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kepatuhan pada Perkara 37 adalah bersifat “fundamental” kerana seorang Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melaksanakan fungsi jawatan Baginda selagi tidak melafazkan sumpah seperti Jadual ke-IV. Daripada peruntukan Perkara 181(1) dan Sumpah Yang di-Pertuan Agong maka terpeliharalah prerogatif Baginda sebagai “custodian atau guardian of the Federal Constitution”.
Sesungguhnya menjadi satu prinsip perundangan yang mantap bahawa pentafsiran undang-undang hendaklah mengutamakan pengharmonian antara peruntukannya satu sama lain juga tertakluk pada falsafah kedaulatan sesebuah negara.
Semoga prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi teras kepada kedaulatan undang-undang difahami dengan sebaiknya demi kesejahteraan negara juga rakyat.
Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP (ITKAS)
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*