PrEP Menggalakkan Lagi Aktiviti Maksiat LGBT Dan Homoseksual
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
1. PERKASA merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2022 bertajuk “KKM Laksana Projek Rintis Penggunaan Ubat HIV” mengenai rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
2. Projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan ulama, cendekiawan, agamawan, pengamal perubatan, dan masyarakat keseluruhannya. Ini adalah kerana PrEP sebagai ubat pencegahan HIV akan melibatkan pemberiannya kepada pasangan LGBT yang kononnya dapat mencegah jangkitan itu dalam kalangan mereka.
3. Memandangkan terdapat perdebatan besar sama ada rakyat Malaysia harus mengambil PrEP sebagai strategi pencegahan untuk tingkah laku berisiko tinggi melibatkan aktiviti homoseksualisme dan pelacuran serta perzinaan, maka cadangan pengambilan PrEP perlukan penelitian dan perbahasan yang lebih mendalam.
4. Kebimbangan PERKASA terletak pada asas PrEP boleh mengundang kepada perlanggaran nilai-nilai agama Islam, meningkatkan hubungan seks dan homoseks yang tidak selamat dan haram dari segi agama, meningkatkan aktiviti songsang puak LGBT, meningkatkan risiko memperoleh penyakit penyakit seksual yang lain (siplis misalnya), meningkatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan merebaknya aktiviti-aktiviti maksiat yang lain yang berkaitan dengan seks dan penyalahgunaan dadah. Kebimbangan ini belum termasuk kesan sampingan daripada penggunaan PrEP dan yang berkaitan dengannya.
5. Apa yang perlu dilipatgandakan ialah inisiatif kempen secara besar besaran melalui pelbagai wahana dan platform bagi menceritakan keburukan-keburukan daripada perbuatan haram LGBT dan homoseks agar kesedaran yang tinggi dapat disuntik ke dalam sanubari segenap lapisan masyarakat. Proses pendidikan amatlah penting untuk menyedarkan masyarakat akan gejala maksiat yang mengundang kemurkaan Allah ini.
6. Bagi PERKASA, penggunaan PrEP bukanlah pendekatan menyelesaikan masalah tetapi membawa kemudaratan yang lebih besar seolah-olah kita menggalakkan maksiat dan gejala songsang.
7. Apa yang membimbangkan ialah budaya LGBT dan homoseks akan semakin bermaharajalela dalam masyarakat dan menjadi amalan yang diiktiraf sebagai norma masyarakat dengan pemberian PrEP ini sedangkan ia bertentangan dengan nilai-nilai keagamaan kita.
Assoc. Professor Dr Amini Amir Abdullah
Naib Presiden
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*