Premis Swasta Berdegil, Tidak Kibar Jalur Gemilang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JOHOR BAHRU, 23 Ogos 2022 – Pemilik premis swasta di Bandar Raya Johor Bahru tidak bersikap patriotik dan gagal mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan negara.
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kesal dengan tindakan beberapa premis swasta yang bersikap dingin dan tidak menaikkan Jalur Gemilang walaupun hebahan berhubung perkara tersebut sudah dibuat sejak akhir bulan lalu.
“Dalam kawasan pentadbiran MBJB, terdapat kira-kira 7,000 premis komersial berdaftar dengan hebahan menaikkan Jalur Gemilang telah dibuat sebelum ini. Namun, kita dapati masih sedikit premis swasta mematuhi arahan itu.”
Selepas Majlis Pelancaran Logo Baharu JLand Bhd baru-baru ini, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata bahawa pihaknya akan menegur premis swasta terbabit serta membuat semula hebahan menerusi pelbagai saluran media sosial.
Beliau turut menjangkakan lebih banyak premis akan menaikkan bendera dalam tempoh beberapa hari mendatang sebelum Hari Kemerdekaan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Dalam pada itu, MBJB juga sudah menyediakan panduan susunan pemasangan bendera mengikut kesesuaian premis bagi memastikan ia dipasang mengikut kebenaran yang ditetapkan.
Selain itu, MBJB turut membuat edaran bendera kepada setiap Ahli Majlis mengikut zon masing-masing serta mengeluarkan surat pekeliling pemasangan bendera kepada bangunan milik kerajaan.