Tempatan

Pornografi Kanak-Kanak, Buli Siber Harus Dicegah Secara Agresif – Acryl Sani

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2022 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, menegaskan agar jenayah seperti pornografi kanak-kanak, siber seksual, buli siber serta pemerdagangan manusia yang kian mendapat perhatian masyarakat dibanteras secara agresif.

“Langkah pencegahan berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara agresif dan menyeluruh dapat membina persepsi positif sekali gus menaikkan imej PDRM di mata masyarakat,” kata beliau dalam amanat menerusi Perhimpunan Bulanan Ogos 2022 di Bukit Aman, siang tadi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan harapan agar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terus mengekalkan komitmen dalam usaha bersama mengurangkan indeks jenayah.

Beliau juga menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merangka pelan keselamatan komprehensif bagi berhadapan dengan cabaran jenayah yang dianggap sebagai cabaran baharu ini.

Menerusi perhimpunan bulanan itu, beliau berkata, institusi polis hendaklah membalas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepada mereka dengan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik diikuti dengan meletakkan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara sebagai keutamaan pasukan.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pernah menuntut kerjasama dari pelbagai pihak bagi menangani isu eksploitasi dan perkongsian kandungan lucah kanak-kanak di alam maya.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun berkata isu itu berada pada tahap genting berikutan dalang di sebalik perkongsian bahan lucah berkenaan sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

“Saya cukup risau dan pandang serius dapatan PDRM yang menyatakan menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di internet.”

“Daripada 93,368 alamat IP lucah berkenaan, hanya 103 berjaya diperiksa, yang membawa kepada penangkapan 50 individu,” kata beliau sewaktu membuat lawatan ke CyberSecurity Malaysia, Mei lalu.

Sementara itu, Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pernah mencatatkan perbuatan buli siber di Malaysia pada kedudukan kedua di Asia pada tahun 2020 dalam kalangan belia.

Baru-baru ini, seorang pempengaruh popular media sosial dalam masyarakat India meninggal dunia dipercayai tekanan dari buli siber.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: