NGO

POLITIKUS, CEROBOH TANAH SECARA HARAM DAN COVID-19 – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Mungkin ramai terlepas pandang, penceroboh tanah telah lama kekenyangan menikmati keuntungan tanpa perlu bayar sesen pun sebarang bentuk cukai selama lebih 20 tahun. Berapakah kadar cukai tanah sepatutnya yang patut dibayar oleh penceroboh kepada kerajaan negeri selama itu jika ada perjanjian sewaan tanah untuk perkebunan?

2. Cukai adalah wang rakyat yang sepatutnya diperolehi oleh kerajaan untuk dibelanjakan semula kepada rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di dalam negeri. Tetapi perkara ini tidak berlaku terhadap penceroboh, adakah mungkin ada angkara pengkhianatan dari dalam? Cukai yang sepatutnya dipungut oleh kerajaan, dipungut oleh pengkhianat?

3. Prinsip kita: “Yang Salah Tetap Bersalah”, sudahlah menceroboh dan berkebun secara haram malahan langsung tidak berasa bersalah dan tidak peduli kemarahan rakyat, mengaut keuntungan berlipat kali ganda, tetiba meroyan mengadu kononnya telah dianiaya, “hilang punca pendapatan terutama zaman pandemik Covid-19.”

4. Sekalipun terdapat rungutan orang ramai isu pencerobohan ini namun tiada siapa ambil peduli sehinggalah dipaparkan di medsos gambar keadaan hutan simpan yang telah digondolkan oleh penceroboh. Justeru, penceroboh tanah haram wajib didakwa dan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Hukuman terhadap mereka harus dijadikan tauladan untuk generasi yang akan datang agar mereka pula tidak wewenang menceroboh sesuka hati.

5. Antara pencerobohan ke atas tanah kerajaan yang terbongkar baru-baru ini termasuk di Alor Gajah, Melaka sekitar 466.35 ekar tanah rizab empangan Durian Tunggal. Di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan dalam akhbar sehingga 33 hektar telah diceroboh. Begitu juga berita mengejutkan di Kedah, apabila Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengesan kes ketiga aktiviti sindiket di kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Hutan Simpan Gunung Bongsu.

6. Di negeri Selangor pula, Menteri Besar, mendedahkan Kuala Langat merekodkan pencerobohan tanah paling tinggi iaitu 142.85 hektar diikuti Klang (86.1 hektar); Petaling dan Kuala Selangor masing-masing 40.46 hektar; Hulu Langat (34 hektar); Gombak (32.3 hektar); Sepang (29.1 hektar); Hulu Selangor (20.2 hektar) dan Sabak Bernam (1.4 hektar). Manakala dilaporkan seluas 3,000 hektar tanah hutan simpan di Perak dikesan telah diterokai secara haram.

7. Oleh itu, jangan sesekali ada sikap selektif. Yang salah tetap bersalah. Jangan pilih kasih, jika peniaga miskin mencari sesuap nasi dikenakan hukuman sampai beribu ringgit maka begitu jugalah yang harus dikenakan ke atas kluster kayangan. Mereka tidak kebal dari undang-undang.

8. Turut terbabit ialah Wakil Rakyat di bahagian kawasan tersebut juga harus sedar bahawa pengundi kini sedang bijak dan cerdik menilai, meneliti dan memerhati akan perangai buruk politikus tempatan, terutama yang sedang memegang kuasa dan tidak kurang juga mereka yang sedang mabuk berebut kuasa dan jawatan. Hentikanlah daripada menjadi tikus politik atau politikus murahan.

9. Saat ini rakyat sedang menderita kerana Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat. Politikus-politikus pula asyik bercakaran sesama sendiri hanya membazirkan masa untuk membincangkan siapakah yang bakal jadi Perdana Menteri seterusnya. Rakyat memerhati ketika wabak semakin merebak, tanah semakin banyak diceroboh, pemimpin politikus sibuk berebut kerusi hendak menjadi Perdana Menteri, tunggu dan lihatlah nanti akibatnya.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button