Polis Rampas Dadah Bernilai RM3.8 Juta Di Melaka & Selangor, 8 Ditahan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JASIN, 08 Januari 2023 – Polis merampas dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai lebih RM3.8 juta dalam serbuan di sekitar Melaka dan Selangor Rabu lalu sekali gus berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke luar negara
BACA JUGA: Proses Dan Edar Dadah, Tiga Lelaki Ke Tali Gantung
BACA JUGA: 687 Penjawat Awam Terbabit Jenayah Dadah, 5 Pegawai Tinggi
BACA JUGA: Pelancong Malaysia ‘Borong’ Minuman Ringan Bercampur Ganja Thailand
Jumlah rampasan ini dipercayai boleh digunakan seramai 835,700 orang penagih dadah.
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata, lapan suspek tempatan berumur antara 25 hingga 48 tahun iaitu enam lelaki dan dua wanita termasuk dua pasangan suami isteri turut ditahan dalam empat serbuan berasingan.
“Serbuan pertama dilakukan dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di Serkam, Jasin melibatkan tiga suspek iaitu dua lelaki dan wanita. Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita.”
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu anggaran berat 82.64kg bernilai RM2.975 juta dan 16.62kg pil ekstasi (RM831,000),” katanya pada sidang media di IPD Jasin.
Mengulas lanjut, Zainol berkata semua dadah syabu itu ditemukan dalam karung guni dan peket bungkusan teh seberat 1kg manakala pil ekstasi ditemui dalam plastik lutsinar dengan setiap satu bungkusan dianggarkan mempunyai 5,000 biji.
Tambahnya lagi, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman menahan tiga lagi suspek masing-masing di Permatang Serai dan Kampung Pulai di Merlimau serta Kota Damansara dan Petaling Jaya di Selangor dalam tiga lagi serbuan pada hari sama.
“Hasil risikan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2022 dan ada antara mereka yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan suri rumah.”
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan yang sama,” katanya.
Dalam serbuan itu juga, polis merampas tiga motosikal, empat kereta, barangan kemas, wang tunai dan beberapa keping mata wang asing milik sindiket dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM283,770.
“Kesemua mereka direman selama tujuh hari hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.”
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan seumur hidup.”