Tempatan

Polis Nafi Kes Culik Kanak-Kanak Untuk Penjualan Organ

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 September 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berita tular baru-baru ini mengenai kegiatan penculikan kanak-kanak ada kaitan dengan kes penjualan organ.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata, semakan mendapati mesej palsu itu diulang siar di beberapa platform media sosial, sejak akhir-akhir ini.

“Mesej berkenaan kononnya meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan membabitkan sekumpulan kanak-kanak.”

“Kanak-kanak itu dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.”

“Mesej itu juga mendakwa bahawa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak,” katanya sambil memberitahu bahawa mesej palsu itu pernah disebarkan pada tahun 2017.

Tegasnya, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak berasas yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: