Tempatan

Teks Rasmi Bahasa Melayu Bukan Isu Undang-Undang Tapi Soal Maruah Rakyat Malaysia – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2023 – “Kita patut ada maruah diri, ini bukan soal undang-undang sebaliknya ini soal maruah diri sebagai rakyat Malaysia. Sampai bila kita nak menidakkan kewujudan teks Bahasa Melayu dan simpan teks Bahasa Inggeris. Atas undang-undang apa dan di mana peruntukannya?” soal Peguam Senior Haniff Khatri Abdulla.

Soalnya lagi, tak malukah kita sebagai orang Malaysia tidak ada Undang-Undang Tertinggi dalam Bahasa Kebangsaan. Sedangkan, Perlembagaan yang kini dalam Bahasa Inggeris sendiri mengatakan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan!

“Kita nak katakan kita mempunyai identiti rakyat Malaysia, kita mempunyai Bahasa Kebangsaan sendiri tetapi kita tak mahu nak memartabatkan Bahasa Kebangsaan, apa jenis rakyat kita ni? Sanggup mencari dalil-dalil yang songsang untuk menidakkan kewujudan Perlembagaan .”

Haniff berkata, Perkara 152 Bahasa Kebangsaan diletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi sangat pelik dan tidak munasabah langsung seandainya selepas 65 tahun negara mencapai kemerdekaan kita tidak mempunyai Undang-Undang Tertinggi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan. Tidak boleh kita sebagai rakyat terima hakikat fakta itu.

Menurut beliau, sinonimnya, masalah penerimaan ini berlaku apabila seseorang itu tidak arif dalam sesuatu bahasa maka dia salahkan bahasa itu, dia tidak salahkan dirinya. Seolah-olah bagaikan dia tidak reti menari tetapi dia mengatakan lantai itu jongkang-jongket. Jadi dilema inilah yang sedang berlaku pada kita sekarang ini.

Soal beliau lagi, adakah betul untuk kata bahawa Bahasa Melayu kita tidak lengkap. Ataupun adakah orang yang mengatakan Bahasa Melayu itu tidak lengkap itu yang sebenarnya tidak arif dalam Bahasa Melayu.

“Ataupun, dia lebih tertumpu kepada penggunaan Bahasa Inggeris sehingga menganggap Bahasa yang paling betul tu Bahasa Inggeris. Adakah dakwaan itu tepat dan adil?”

Bukanlah Masalah Bahasa Tetapi Masalah Kehendak Diri

 

Pokoknya sekarang, bukanlah masalah bahasa tetapi masalah kehendak. Kehendak orang-orang tertentu dan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kehendak itu tidak boleh dituruti kalau ia berlanggaran dengan peruntukan Perlembagaan yang sekarang ini berada dalam Bahasa Inggeris yang mengatakan Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu itu kena dituruti walau apa sekalipun.

Apabila dikatakan tafsiran ataupun terjemahan yang dibuat itu betul atau tidak. Saya berpandangan itu adalah isu yang dibangkitkan tidak kena pada tempatnya.

Apabila berlaku satu pertikaian sekarang ini dibawa ke mahkamah dan mahkamah akan merujuk kepada peruntukan undang-undang ataupun dalam kes ini Perlembagaan yang berkaitan dan mahkamah akan buat tafsiran yang berkaitan dengan peruntukan tersebut.

Dan dalam kes-kes tertentu sepertimana yang berlaku dalam kes Subhashi contohnya ada rujukan dibuat kepada tafsiran Bahasa Melayu yang menggunakan perkataan berbeza. Jadi mahkamah akan tentukan mana yang sah dan mana yang tidak sah.

Sekiranya, didapati jikapun ada perkataan yang diterjemahkan tidak selari dengan intipati Bahasa Inggeris tetapi kerana Perlembagaan Bahasa Kebangsaan itu menjadi teks otoritatif maka pindaan boleh dibuat melalui pindaan yang perlu kepada teks Bahasa Melayu apabila tiba masanya.

Seperti yang saya katakan sebelum ini kalaupun ada kesilapan terjemahan itu boleh diselesaikan melalui dua perkara. Pertama bila pertikaian dibawa ke mahkamah dan yang kedua muktamad pindaan perlu dibuat. Serupa juga seperti sekarang pun sudah berapa puluh kali pindaan dibuat pada versi Bahasa Inggeris?

Jadi, janganlah semata-mata kerana kelemahan penguasaan bahasa orang-orang tertentu maka kita terjerumus ke dalam lembah yang tidak memahami erti peri penting Bahasa Kebangsaan dalam dokumen tertinggi di negara kita.

Sudah Ada Atau Belum Teks Sahih Bahasa Melayu?

Persoalannya, sekarang kita sudah ada ke belum teks Bahasa Melayu ini seperti yang sebelum ini saya sudah bercakap perihal tersebut?

Mengikut laporan akhbar Star seperti yang telah dilaporkan pada 29 September 2003, KDYMM Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah melancarkan Teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan.

Jelas beliau, kita perlu lihat semula dalam majlis yang dibuat pada 2003 itu yang turut dihadiri oleh Agong ketika itu. Takkanlah kehadiran Agong yang merupakan jawatan tertinggi negara ke majlis yang hanya dibuat sekadar untuk suka-suka saja. Mestilah untuk melancarkan, menetapkan dan describe Perlembagaan itu.

“Teks sahih Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bahasa Melayu telah dilancarkan pada 2003 lagi tetapi hanya belum digunakan sepenuhnya setakat ini.”

Paling Mustahak Pejabat Peguam Negara Mesti Jelaskan Pada Rakyat

Kenapa sampai sekarang pejabat peguam negara masih menafikan kesahihan teks Perlembagaan dalam Bahasa Melayu itu, kenapa tak sah? sedangkan ia sudah pun dilancarkan. Itu soalan yang saya nak sampaikan kepada Pejabat Peguam Negara. Kenapa awak secara salah meletakkan pada terjemahan Bahasa Melayu seolah-olah dia belum sah sedangkan ia sudah lama sah. Bagi saya YDPA Raja Perlis pada masa itu telah melancarkan.

Jadi, kenyataan Tan Sri Idrus Harun “akan dibuat” itu sebenarnya tak perlu dibuat sebab perkara itu sudah ada. Apabila sudah sah sebagai Perlembagaan you tak boleh buat yang baru melainkan hanya boleh dipinda sahaja. Pada saya, perkara ini yang paling mustahak sekarang, kalau Pejabat Peguam Negara tidak memberi penjelasan yang lengkap maka susahlah rakyat nak faham.

20 Tahun Peguam Negara Ambil Masa Sediakan Laporan

Selepas hampir 20 tahun Peguam negara mengambil masa untuk menyediakan laporan untuk dilancarkan pada majlis pelancaran itu dan jelas pada 2003 Pejabat Peguam Negara sudah yakin ia adalah terjemahan muktamad.

Justeru, pihak Kerajaan tak boleh nak cemarkan dan kelirukan rakyat serta memalukan Malaysia dengan masih nak menganggap tidak ada Perlembagaan dalam Bahasa Kebangsaan, itu memang saya tidak boleh terima.

Sebenarnya, tidak kisah sama ada terjemahan yang dibuat pada 2003 itu seratus peratus tepat atau tidak kerana itu masa akan tentukan bila perkara berbangkit orang rujuk kepada Bahasa Melayu yang otoritatif dan sekiranya mereka berpendapat itu tidak betul seperti terjemahan, akan dihujah di mahkamah.

Perkara itu, kalau mahkamah kata betul atau tidak betul maka akan didengar oleh Kerajaan semula. Apa yang salahnya, sistem betulkan yang ada tapi awak sebaliknya menidakkan hak Bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Maka, orang yang mengatakan tidak boleh ada Perlembagaan Teks Bahasa Melayu adalah melanggar Perlembagaan kerana Perkara 152 mengatakan Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan.

Mestilah itu Undang-Undang Tertinggi bila Bahasa Kebangsaan takkanlah Undang-Undang Rendah dalam Bahasa Kebangsaan manakala Undang-Undang Tinggi dalam Bahasa Urdu, Tamil mahupun Bahasa Cina, masuk akal kah? soal beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: