Tempatan

Polis Kajang Nafi Anggota Meninggal Selepas Vaksinasi Dos Kedua

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KAJANG, 17 April 2021 – Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menafikan seorang anggotanya yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) meninggal dunia akibat komplikasi suntikan dos kedua COVID-19.

“Maklumat yang tular pada hari ini (Jumaat) di laman media sosial Facebook dan melalui aplikasi WhatsApp kononnya akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19 adalah tidak benar sama sekali,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

“Pihak kami sedang menyiasat berita palsu ini dan saya menyarankan kepada semua agar tidak membuat sebarang spekulasi.”

Sehubungan itu, Mohd Zaid meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga mencetus keresahan.

“Saya menyarankan kepada semua di luar sana agar tidak membuat spekulasi yang tidak benar berkenaan maklumat ini yang boleh meresahkan orang ramai,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla memberitahu, para penerima vaksin COVID-19 keluaran syarikat ubat-ubatan itu berkemungkinan memerlukan suntikan ketiga dalam tempoh setahun.

Beliau juga menyatakan bahawa para penerima vaksin itu juga mungkin disuntik pada setiap tahun bagi membendung penularan pandemik tersebut.

“Kemungkinan terdapat keperluan untuk suntikan ketiga iaitu antara enam dan 12 bulan sebelum divaksinkan semula pada setiap tahun.”

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 409,784 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 1,018,937 setakat 14 April 2021.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Leave a Reply

Back to top button