Tempatan

Polis Gesa Mangsa Planetrade Tampil Buat Laporan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 April 2023 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan pelaburan “Planetrade” untuk tampil segera membuat laporan polis.

Setiausaha PDRM, DCP Dato’ Hajah Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima 92 laporan berkaitan skim penipuan pelaburan ‘Planetrade’ dengan nilai kerugian mencecah RM17 juta bagi tempoh Januari 2021 hingga kini.

BACA JUGA: Persiapan Aidilfitri, Kuala Lumpur Dijangka Sesak Sabtu Ini

BACA JUGA: Pinda Akta Pencen Doktor Kontrak, Tukar KWSP

BACA JUGA: UAE Lapor Ramadan Tahun Ini Hanya 29 Hari

Kata DCP Dato’ Hajah Noorsiah lagi, hasil siasatan, pihaknya telah membekukan 27 akaun bank, enam buah kenderaan dan 11,000 unit saham di empat buah syarikat yang berkaitan.

Selain itu, seramai tiga lelaki dan enam wanita warga tempatan yang terlibat telah ditahan pada 2022.

“Pada tahun 2022, seramai sembilan (9) orang terdiri daripada tiga (3) lelaki dan enam (6) perempuan warga tempatan yang terlibat dalam skim pelaburan ini telah berjaya ditahan.”

“Seorang lagi suspek yang merupakan Pengarah Syarikat mengendalikan skim tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala tujuh (7) lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.”

Tambahnya, “Hasil tangkapan tersebut, suspek utama yang merupakan dalang skim penipuan pelaburan ini telah didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.”

Antara suspek yang ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai “authorised introducer” iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim tersebut.

Kata beliau lagi, dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan ini, PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

“Kesemua suspek yang ditahan mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan ini.”

Justeru, orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti semak Mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” tegas DCP Dato’ Hajah Noorsiah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: