Polis Damansara Difitnah, Polis Akan Buat Laporan
BRICKFIELDS, 18 Februari 2023 – Pihak polis akan membuat laporan polis ke atas satu ciapan fitnah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, YDH ACP Amihizam Bin Hj. Abdul Shukor, individu yang memuat naik ciapan itu mendakwa tidak dibenarkan membuat laporan polis di Balai Bukit Damansara mengenai satu kemalangan yang berlaku.
“Pada 15 Februari 2023, jam lebih kurang 9.58 malam. Satu ciapan telah dimuat naik oleh seorang lelaki yang menggunakan laman sosial ‘Twitter’ penama akaun: @ManiamMKM telah mendakwa terdapat satu kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara.”
“Pengadu memaklumkan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan polis di Balai Bukit Damansara dan telah diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) atau IPD untuk membuat laporan polis.”
Tegas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, ciapan tersebut merupakan satu fitnah kerana siasatan awal mendapati, pondok polis yang dimaksudkan adalah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang telah ditutup semenjak tahun 2010 dan tidak beroperasi lagi.
BACA JUGA: Langgar & Seret Sampai Mati, Dua Suspek Diburu
BACA JUGA: ‘Parti Liar’ Genting Highlands Diserbu, 28 Ditahan
BACA JUGA: Mesej Tular Taktik Samun Terbaru Penyamun Tidak Benar
Malah, pondok tersebut telah diambil alih oleh Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada tahun 2011.
“Ciapan tersebut merupakan satu fitnah dan pihak polis akan membuat satu laporan polis. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” kata YDH ACP Amihizam.
Justeru, polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat hendaklah menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” kata beliau lagi.