Polis Ceroboh Masjid Pukul Jemaah Wanita Sempena Hari Lahir Dewa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MADHYA PRADESH, 14 April 2022 – Polis menceroboh masjid dan membelasah jemaah wanita tanpa belas kasihan sewaktu mereka sedang cuba menghentikan pihak polis dari melakukan sedemikian ketika sambutan perayaan Ram Navmi.
Keganasan yang berlaku sewaktu sambutan hari lahir tuhan Ram iaitu salah satu dewa utama agama itu, yang menyasarkan golongan Muslim dan minoriti disertai sorakan “Jai Shri Ram” oleh kumpulan sayap kanan Hindu.
BACA: Pelampau Hindu Menari Atas Bumbung Masjid, Bakar 40 Rumah Muslim
BACA: Hak Kita Untuk Rogol dan Bunuh Muslimah – Pemuda Hindutva
BACA: Sami India Seru Bunuh Umat Islam Dalam Sidang Kemuncak
Umat Islam di India berada dalam ketakutan selepas puak perusuh mengadakan perarakan dan membuat ucapan kebencian serta merosakkan harta benda mereka sewaktu perayaan itu.
Baru-baru ini, telah tular beberapa audio visual di media sosial India yang memaparkan insiden keganasan itu.
Salah satu rakaman menunjukkan lelaki-lelaki Hindu memakai selendang saffron membawa kayu dan pedang serta memberhentikan motosikal mereka di kawasan kejiranan Muslim sambil memainkan lagu-lagu provokatif. Ia turut disertai dengan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan membangkitkan slogan kebencian di luar rumah dan masjid.
Terdapat juga audio visual yang memaparkan seorang lelaki memanjat dinding masjid lalu memasang bendera saffron di pintu masuknya sewaktu perusuh yang lain sedang bersorak sambil memegang pedang dan kayu hoki.
Menurut Al Jazeera, seorang penduduk Khargone, Fazluddin Shaikh memberitahu bahawa sebuah masjid di kawasan Sarafa Bazar telah dibakar oleh kumpulan Hindu sewaktu perarakan tersebut.
Provokasi tersebut menyebabkan kumpulan minoriti membaling batu ke arah perarakan puak perusuh itu yang turut disertai oleh anggota polis.
Namun, mereka ditahan malah rumah dan kedai mereka dibakar serta diminta untuk membayar kerugian atas kerosakan harta awam.
Seorang ahli Parlimen dari bandar selatan Hyderabad yang juga ketua bagi sebuah parti politik, Asaduddin Owaisi menerusi hantaran di laman Twitternya mengatakan bahawa perarakan Ram Navmi digunakan di banyak tempat untuk membuat ucapan kebencian terhadap orang Islam.
“Di bawah undang-undang apakah kerajaan Madhya Pradesh telah merobohkan rumah masyarakat Islam? Ia jelas menunjukkan sikap berat sebelah (Ketua Menteri) terhadap minoriti Islam,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, di selatan Telangana, Raja Singh, penggubal undang-undang BJP turut menghadiri sambutan perayaan itu di mana slogan dan lagu provokatif dimainkan. Salah satu petikan daripada lagu yang dimainkan itu mengatakan “Mereka yang tidak menggunakan nama Ram perlu meninggalkan negara ini.”
Keganasan itu turut mendapat perhatian dari ketua pembangkang utama India yang menempelak insiden itu dengan mengatakan bahawa kebencian, keganasan dan penyisihan melemahkan negara tercinta kita menerusi hantaran di Twitternya.
Justeru, seorang aktivis yang berpangkalan di New Delhi, Nadeem Khan mengatakan ucapan kebencian terhadap umat Islam serta serangan ke atas masjid di beberapa daerah sewaktu perayaan Ram Navmi jelas menunjukkan bahawa perarakan itu telah dirancang lebih awal bagi mencetuskan keganasan komunal di negera itu.
“Kegagalan untuk menghentikan percubaan ini boleh membawa kepada pelanggaran sivil dan serangan sistematik terhadap minoriti. Semua rakyat yang cintakan keamanan dan pembela hak asasi manusia mesti bersama-sama menentang keadaan dan menjaga keamanan,” katanya.