Tempatan

Polis Buru Dalang Iklan Judi Raya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 18 April 2021 – Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Loh Kee Hoe yang dipercayai adalah dalang utama kepada pembikinan dua video iklan mempromosi aktiviti perjudian dalam talian sempena Hari Raya.

Lelaki berusia 35 tahun ini disyaki mengarahkan pembikinan dua video promosi aktiviti judi dalam talian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun. Kita percaya mungkin individu ini adalah penganjur yang boleh nanti membantu siasatan kes kita,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

“Mengikut maklumat tangkapan kita, suspek adalah individu yang mengarahkan untuk pembikinan video berkenaan. Suspek yang mencari ejen dan juga pihak produksi.”

Mengulas mengenai tangkapan terhadap lapan individu dua hari lalu, Mohamad Zainal berkata, dua daripadanya direman hingga 21 April ini manakala enam individu yang juga pelakon video klip berkenaan dibebaskan.

“Individu yang direman adalah pengarah produksi dan jurukamera syarikat produksi terbabit. Bagi semua pelakon berkenaan permohonan reman ditolak majistret atas sebab individu berkenaan hanya berlakon dan memberi kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan.”

Beliau juga tidak menolak kemungkinan video pertama dan kedua yang tular dilakukan oleh syarikat produksi yang sama.

“Siasatan awal mendapati ia dilakukan syarikat produksi yang sama namun pelakon berbeza. Pelakon bagi video yang pertama mengenali pelakon video kedua dan susulan itu polis kini sedang mengesan semua yang terbabit dalam video kedua berkenaan.”

Tegas beliau, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memudahkan siasatan dilakukan.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).”

Semalam, masyarakat sekali lagi digemparkan dengan sebuah lagi iklan judi raya tular di laman sosial berjudul ‘Hari Raya Berkaya’ memaparkan seorang lelaki dan wanita mempromosikan aktiviti judi secara dalam talian sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: