NGO

Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan Isu Serius, PEMBELA Tegur Sesi Libat Urus KDN

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), yang mewakili lebih 70 pertubuhan Islam bukan kerajaan (CSO), telah terlibat dalam sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertempat di Blik D1, Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri semalam, 23 Jun 2023 (Jumaat).

PENDIRIAN PEMBELA
1. PEMBELA menyokong sebarang tindakan pihak Kerajaan, Parlimen untuk mengetatkan syarat kewarganegaraan tetapi hendaklah TIDAK MENGENEPIKAN prinsip-prinsip berperikemanusiaan.

2. PEMBELA dalam mempertahankan prinsip-prinsip kemanusiaan, berpegang kepada prinsip Kepentingan Negara mengatasi Kepentingan Individu atau kumpulan.

3. PEMBELA menyokong semua bentuk cadangan untuk menutup semua ruang kelemahan dalam soal Kewarganegaraan dari disalah guna oleh pihak-pihak berkepentingan.

4. PEMBELA berpegang kepada prinsip Keselamatan Negara juga mengatasi kepentingan individu atau kumpulan.

TEGURAN PEMBELA

HORMAT DOKTRIN PEMISAHAN KUASA:
1. Semua pihak harus hormat prinsip doktrin pemisahan kuasa. Menggunakan proses Judisiari menjalankan peranan Legislatif dan Eksekutif adalah satu bentuk kacau ganggu kepada keseimbangan doktrin pemisahan kuasa. Kuasa untuk melakukan Pindaan kepada Perlembagaan ialah kuasa Legislatif melalui wakil-wakil Rakyat di dalam kedua-dua Dewan Parlimen. Badan Kehakiman (Mahkamah) tidak boleh mengambil alih tugas menentukan apa yang dipinda, dicadang dan dimansuhkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dewan Rakyat mewakili suara rakyat yang akan menentukan apa yang terbaik untuk kesejahteraan mereka dalam negara.

TIADA MAKLUMAT LENGKAP:
1. PEMBELA juga ingin menegur Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam sesi libat urus semalam di mana wakil PEMBELA membangkitkan isu ketelusan sesi Libat Urus kerana semua wakil CSO yang terlibat tidak diberikan maklumat lengkap mengenai cadangan-cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan dicadangkan. Pihak-Pihak CSO hanya diberikan ringkasan tanpa cadangan penuh untuk pihak CSO memberikan maklum balas.

TIDAK BOLEH TERGESA-GESA:
1. PEMBELA juga ingin menegur Kerajaan Perpaduan kerana mahu melakukan pindaan ini secara tergesa-gesa. Semua pihak CSO difahamkan bahawa pindaan perlu digerakkan dalam tempoh 3 bulan. Wakil PEMBELA telah membangkitkan perkara ini semalam dengan menjelaskan isu Pindaan Perlembagaan yang melibatkan isu besar mengenai Kewarganegaran tidak boleh digerakkan dengan tergesa-gesa kerana akan menyebabkan berlaku lebih banyak masalah dan ketidakadilan bukan hanya kepada Negara tetapi keluarga-keluarga yang mungkin terjejas dengan tindakan ini. Perlukan masa dan sesi libat urus yang lebih sempurna dan matang sebelum perkara ini dibawakan ke Majlis Raja-Raja dan Parlimen untuk dibentang dan dibahaskan.

PEMBELA juga menegur tekanan yang diberikan oleh pihak-pihak CSO lain yang mendesak supaya isu kewarganegaraan untuk isu statelessness, foundlings (anak-anak terbuang) dilonggarkan tanpa mempedulikan isu kedaulatan dan keselamatan dalam negara.

CADANGAN

1. Cadangan Pindaan kepada Perkara 15(1) mengenai tempoh pemberian kewarganegaraan kepada warga asing yang menjadi isteri warganegara harus dipinda kepada 5 tahun dan menggantikan tempoh 2 tahun sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. PEMBELA menyokong penuh Pindaan yang memasukkan syarat kemahiran asas dalam Bahasa Melayu untuk Perkara 15 (1) bagi isteri berstatus warga asing kepada suami yang berwarganegara Malaysia dengan syarat berikut :

(a) Kemahiran asas Bahasa Melayu seperti yang disyaratkan di dalam Perlembagaan mesti secara minimanya melibatkan kemahiran bertutur, membaca dan memahami dalam Bahasa Melayu pada tahap sederhana murid Sekolah Kebangsaan Darjah 6 (Enam). Satu sistem ujian yang standard bagi memastikan syarat Kemahiran Bahasa Melayu merangkumi ketiga-tiga syarat minimum ini hendaklah digubal dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. PEMBELA juga ingin mencadangkan supaya syarat tambahan kepada Perkara 15(1) iaitu:

Pemohon hendaklah memahami kehidupan, adat resam dan kebudayaan Negara Malaysia.
(a) Pemohon mesti lulus ujian bertulis dan lisan sebelum pertimbangan untuk mendapat taraf kewarganegaraan diberikan.

4. Pembatalan Perkara 1(e) di dalam Jadual Kedua Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan HARUSLAH DITANGANI dengan cara menyediakan satu ruang remedi tanpa kompromi kepada prinsip kedaulatan negara dan tanpa melonggarkan syarat kewarganegaraan dan memberi perhatian untuk menyelesaikan perkara berikut :

(a) Isu senarai kelayakan dan kelonggaran had kelayakan Hak-Hak Pemastautin Sementara melalui kaedah pemberian MyKAS melaui Peraturan 5(3)(c) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

(i) Pindaan harus merangkumi solusi untuk menyelesaikan masalah pemegang MyKAS dan generasi yang lahir selepas itu serta semua bentuk permasalahan sosial yang bakal wujud dengan tindakan ini.

(b) Isu kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di dalam Jadual Kedua Bahagian 3 Perkara 19B. Perkara 19B sebelum ini menetapkan seperti berikut :

Bagi maksud Bahagian I dan II Jadual ini, mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu; dan jika kanak-kanak itu dikira menurut kuasa seksyen ini telah lahir sedemikian, maka tarikh dia dijumpai hendaklah dikira sebagai tarikh lahirnya.

Pembatalan Perkara 1(e) akan menyebabkan usaha pendaftaran dan kebajikan anak-anak terbuang ini lebih merumitkan kerana anggapan ibu kepada kanak-kanak yang dijumpai itu mengambil anggapan beliau merupakan pemastautin tetap yang hak untuk mendapatkan kewarganegaraan ini bakal dibatalkan oleh dengan pindaan memansuhkan Perkara 1(e) ini.

PEMBELA menggesa satu cadangan pindaan untuk memastikan pemansuhan pindaan Perkara 1 (e) akan mengambilkira kebajikan golongan yang termaktub di bawah perkara ini.

NOTA

1. Semua cadangan yang dikemukakan ini mengambilkira maklumat terhad yang diberikan semasa sesi libat urus bersama KDN semalam.

MAJLIS RAJA-RAJA

1. PEMBELA ingin merafak sembah cadang kepada Majlis Raja-Raja supaya menimbang teliti cadangan Kerajaan Perpaduan mengenai pindaan ini dalam pandangan supaya Kerajaan Perpaduan tidak tergesa-gesa dan menjalankan semua proses konsultasi dan libat urus sempurna sebelum dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

Mohd Aswanizam Bin Alias
Setiausaha Agung,
Pertubuhan-Pertubuhan PEMBELA Islam (PEMBELA)

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: