Polemik Kalimah Allah: Majlis Gereja Tolak Berdialog
Jangan lupa join Telegram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini
KUALA LUMPUR, 21 Mac 2011 – Majlis Gereja Malaysia (CCM) menolak cadangan dialog antara sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan kontroversi penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam.
Presidennya, Melter Jiki Tais dalam kenyataan berkata, usul yang dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu “tidak sesuai” kerana kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Ujarnya, “Dengan sangat berhati-hati, dan mengambil kira perkara ini di peringkat Mahkamah Rayuan, kami berpendapat sangat tidak sesuai isu ini diselesaikan melalui dialog yang dicadangkan KDN, yang juga salah satu pihak yang membuat rayuan.”
Tambahnya, komuniti Kristian di Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak sentiasa mahukan kehidupan yang “aman, harmoni serta saling hormat-menghormati dengan komuniti agama lain”.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memberitahu akan mengadakan dialog dengan sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah “Allah”, secara damai.
“Saya akan menjemput para sarjana Islam dan ahli agama serta mereka daripada pertubuhan Kristian untuk duduk bersama agar kita semua dapat menyelesaikan masalah ini agar tidak berpanjangan dan menjadi beban di masa depan,” kata Hamzah.