Pendapat

POLEMIK DARURAT 2021 : IZINKAN MAHKAMAH MEMAINKAN PERANANNYA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Mutakhir ini pertelingkahan politik Malaysia semakin meruncing hingga ada pihak membuat tohmahan tidak manis terhadap payung negara, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (YDPA). Ia bukan baru tercetus malah boleh dikatakan sudah membarah. Ahli politik dan penyokong mereka nampaknya semakin jauh dari nasihat baginda untuk menghayati Rukunegara. Prinsip-prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan malah dalam banyak hal Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan turut ditempelak oleh puak-puak berpemikiran liberal! 

Sejak minggu lepas, ramai yang mendesak supaya Proklamasi Darurat oleh baginda YDPA di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan pada 11 Januari 2021 dicabar di Mahkamah atau dibatalkan oleh baginda YDPA. Berbagai alasan yang diberikan termasuk oleh bekas-bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia. Tidak kurang juga para peguam dan juga pakar-pakar undang yang menyanggah desakan tersebut berdasarkan Perkara 150 Fasal 8. 

Sebagai Profesor Industri (undang-undang) yang berpengalaman mengendalikan kes-kes Perlembagaan semasa bertugas sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara antara tahun 1998 hingga 2014, saya mengambil jalan tengah dengan berpendapat Badan Kehakiman Negara (Judiciary) wajar diberikan peluang untuk menunaikan kewajipannya berdasarkan kedudukannya sebagai salah satu cabang utama berdasarkan amalan demokrasi di negara kita yang mengamalkan prinsip pengasingan kuasa untuk tujuan “check and balance”

Terdapat berbagai isu atau persoalan yang bermain dalam pemikiran rakyat dan ahli politik yang sepatutnya dimuktamadkan oleh pihak berautoriti dalam pengadilan iaitu Mahkamah Persekutuan. Justeru, sekalipun undang-undang atau Perlembagaan dengan jelas dan nyata mengenepikan bidang kuasa Mahkamah dari mendengar atau menyemak sebarang bentuk cabaran atau semakan undang dalam sesuatu peruntukan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 130 tetap membolehkan rujukan dibuat ke Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan berbagai isu undang-undang menerusi rujukan yang dibuat oleh Baginda YDPA. Inilah masanya Perkara 130 yang memberikan bidang kuasa nasihat kepada Mahkamah Persekutuan digunakan oleh pihak kerajaan. 

Menerusi proses rujukan di bawah Perkara 130 ini, sekatan atau ouster clause yang terkandung dalam Fasal 8 Perkara 150 boleh diberikan tafsiran yang konklusif oleh pihak yang berwibawa. Setakat ini pakar-pakar undang-undang dan para peguam hanya mampu memberikan pandangan semata-mata. Namun rakyat dan negara memerlukan pandangan undang-undang dari pihak yang berwibawa iaitu Mahkamah Persekutuan. 

Ketika ini antara isu politik yang menjadi punca utama ketidakstabilan politik di Negara ini ialah kedudukan  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dikatakan sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43 Fasal 1 dengan jelas memberikan kuasa budi bicara kepada  YDPA untuk membuat pertimbangan baginda, namun masih terdapat suara-suara sumbang yang beranggapan majoriti ahli dewan rakyat tidak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Dalam kedudukan beliau yang tidak menentu begitu tentunya tindakan beliau menasihati baginda YDPA untuk membuat proklamasi darurat dilihat sebagai manipulasi politik untuk mengekalkan kedudukan beliau. 

Justeru andaian politik sebegini tidak wajar dibiarkan. Penasihat-penasihat di sekeliling Perdana Menteri wajar membuka ruang undi tidak percaya dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik sahaja undi belah bahagian Bajet 2021 baru-baru ini.  Oleh kerana peluang keemasan sebegitu terlepas begitu sahaja suara-suara mempertikai kedudukan beliau kini bukan sahaja tercetus di kalangan penyokong-penyokong PH malah juga di kalangan penyokong-penyokong UMNO. Justeru langkah strategik yang perlu dibuat adalah untuk berhujah di hadapan mahkamah bahawa Perdana Menteri masih dianggap sebagai Perdana Menteri yang sah mengikut undang-undang (legitimate Prime Minister) untuk menasihati baginda YDPA untuk membuat proklamasi darurat dan lain-lain isu undang-undang yang berkaitan.

Jika diteliti kepada proklamasi baginda di bawah Perkara 150 itu ia turut disertakan dengan Perintah Pemprorogan di bawah Perkara 55 Perlembagaan. Ini juga menjadi isu undang-undang yang perlu diputuskan oleh pihak ketiga iaitu Mahkamah. Amatlah tidak wajar jika pihak eksekutif yang menasihati Baginda dan pihak eksekutif juga yang memutuskan keabsahannya apabila banyak pihak yang mempertikaikannya. Bayangkan jika tindakan sebegini dilakukan oleh pihak yang menjadi pembangkang suatu hari nanti hanya kerana ingin terus berkuasa. Tentunya pihak kerajaan sekarang akan menuduh tindakan sedemikian sebagai suatu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang dan tidak menghormati keluhuran Perlembagaan. Sejarah telah membuktikan hanya ketika darurat diperkenalkan pada tahun 1969 sahaja Parlimen tidak wujud ekoran dari peristiwa berdarah 13 Mei 1969. 

Hari ini adakah pandemik Covid-19 boleh dijadikan alasan untuk menggantung Parlimen sedangkan berbagai mekanisme ICT terkini yang boleh dimanfaatkan. Begitu juga persoalan mengenai kewajaran untuk menangguhkan PRK atau PRU yang juga dikatakan boleh menyebabkan pandemik Covid-19 berleluasa. 

Kenapa SPR masih bermenung? Jika jiran kita Republik Singapura dan beberapa negara lain mampu mengadakan pilihan raya  dengan memanfaatkan teknologi ICT terkini, kenapa SPR tidak menggubal suatu peraturan pilihan raya bagi membolehkan cara penjalanan pilihan raya yang lebih selamat diadakan? Adakah betul proklamasi darurat benar-benar mampu menangguhkan pilihan raya? Ini juga satu persoalan yang perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan hujah-hujah dari pembangkang dan penyokong kerajaan. Media dan rakyat tidak wajar terkial-kial untuk membuat pengadilan bagi hal yang begitu penting sebegini. Pihak yang berwibawa berdaulat untuk memutuskan pertelingkahan yang sebegini serius adalah Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

Kita juga tidak boleh alpa dengan peruntukan Fasal 6A Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan kuasa membuat undang-undang berkaitan dengan hal hukum Syarak atau adat bagi Negeri Sabah dan Sarawak. Begitu juga undang-undang yang digubal semasa darurat ini tidak boleh menyanggahi perkara-perkara berkaitan Agama , Kewarganegaraan atau Bahasa. Justeru undang-undang atau peraturan yang digubal di negara ini bukan sahaja perlu selaras dengan hukum syarak semasa negara dalam keadaan aman berteraskan kedudukan Islam sebagai agama negara, malah arahan-arahan yang diwujudkan oleh Ordinan Darurat 2021 semestinya tidak boleh menyanggahi Hukum Syarak, jauh sekali dari mengubah kedudukan Islam sebagai agama negara. Prinsip ini tentunya selaras dengan sumpah baginda YDPA untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Sama ada semasa aman ataupun semasa darurat, negara berkewajipan memelihara kedaulatan agama Islam.  Persoalannya siapakah yang boleh mewajibkan umat Islam menerima vaksin yang tidak halal?

Di sinilah pentingnya peranan Majlis Raja-Raja menerusi mufti-mufti untuk membuat penentuan hukum syarak mengenai perkara ini dan perkara-perkara lain berkaitan hukum syarak yang menyentuh umat Islam. Jika peruntukan Perkara 6A ini dilanggar oleh kerajaan, bukankah Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memutuskannya? Justeru tafsiran kepada kuat kuasa ouster clause Fasal 8 Perkara 150 perlu diberikan tafsiran yang sewajarnya oleh Mahkamah Persekutuan menerusi proses di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutan.

Begitu juga dengan kuasa menggantung Parlimen di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan disifatkan oleh Ordinan Darurat 2021 sebagai tidak mempunyai kesan, di bawah Peruntukan mana Parlimen sekarang digantung? Perkara 150 tidak secara automatik menggantung Parlimen. Satu-satunya perkara yang memberi kuasa kepada baginda YDPA untuk menggantung atau membubarkan Parlimen adalah Perkara 55(2). Dalam keadaan sekarang Ordinan Darurat 2021 mengisytiharkan Perkara 55(2) sebagai tidak mempunyai kesan, tentunya punca kuasa baginda untuk menggantung Parlimen sudah tiada. Persoalannya jika Parlimen tidak digantung dan kerajaan masih berfungsi seperti biasa, adakah ketua pembangkang masih boleh memohon mengadap baginda YDPA untuk mengemukakan Statutory Declaration membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat?

Prof. Dato’ Mahamad Naser Bin Disa,

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: