Tempatan

PN Tidak Iktiraf UEC, Antara Sebab Tolak PH

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Disember 2022 – Perbezaan dasar dalam Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menjadi sebab mengapa gabungan itu tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), menurut bekas Pegawai Khas Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad.

“Ada pihak mempertikaikan keputusan untuk tidak menyertai Kerajaan pimpinan PH. Jawapannya mudah. Ini kerana PN dan PH mempunyai dasar yang berbeza. Dalam manifesto PN tidak ada janji untuk mengiktiraf UEC tetapi dalam manifesto PH ada janji tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan seberapa stabilkah Kerajaan itu apabila kedua-dua parti mempunyai dasar yang bertentangan dengan dasar parti masing-masing, menerusi sebuah hantaran di Facebooknya.

Kata beliau, UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dari segi pengajaran, kurikulum serta peperiksaannya yang ditadbir oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“UEC juga tidak tertakluk kepada kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dari segi pengajaran dan pembelajaran bahasa Kebangsaan, sejarah, budaya dan pembentukan identiti kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa,” ujarnya lagi.

Jelasnya, isu berhubung pengiktirafan UEC ini pernah dibangkitkan dalam sebuah pertemuan antara Muhyiddin yang ketika itu menyandang jawatan Perdana Menteri Kelapan dengan Dong Zong.

Beliau yang ketika itu diminta untuk untuk menilai isu tersebut telah meminta pihak Kementerian Pendidikan untuk mengkaji kandungan buku teks yang diguna pakai di sekolah persendirian Cina yang melaksanakan peperiksaan UEC.

“Saya agak terkejut melihat kandungan buku sejarahnya. Dalam bab budaya orang Melayu dipaparkan gambar orang-orang Melayu mengelilingi Kaabah ketika mengerjakan fardu haji di Mekah dengan memakai baju Melayu bersamping dan wanitanya berbaju kurung.”

“Lantas saya beristighfar. Inikah budaya masyarakat Melayu yang diajar kepada anak-anak di sekolah persendirian Cina? Sah mereka tidak memahami latar agama dan budaya masyarakat Melayu dengan mendalam,” tambahnya.

Isu pengiktirafan UEC ini merupakan janji daripada pihak PH dalam manifestonya sempena Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu yang berjanji untuk menjadikan institusi pengajian tinggi awam mengiktiraf sijil ini.

Menurut Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), UEC ini bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Falsafah Pendidikan Negara 1988 dan Dasar Bahasa Kebangsaan di mana ia membawa silibus yang menyeleweng dari luar negara serta tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: