Antarabangsa

Turkiye Rekod 31,643 Kematian, Syria Cecah 4,614

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELASA, 14 Februari 2023 – Jumlah mereka yang terkorban akibat gempa bumi yang bermagnitud 7.8 beserta gempa susulan yang telah melanda kawasan-kawasan tenggara Turki yang bersempadan dengan Syria terus meningkat.

Sekurang-kurangnya 31,643 nyawa telah dilaporkan terkorban di Turki, manakala di Syria pula dilaporkan bahawa 4,614 orang telah meninggal dunia akibat kejadian gempa bumi tersebut dan jumlah kematian ini berkemungkinan besar akan terus meningkat.

Harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup kini semakin malap dan pakar-pakar pula menzahirkan kekhuatiran mereka bahawa kadar kematian boleh meningkat dengan tinggi.

Pihak berkuasa Turki menyatakan bahawa sekitar 13.5 juta orang telah terkesan di kawasan berkeluasan sekitar 450 kilometer dari Adana di barat membawa ke Diyarbakir di timur, serta 300 kilometer daripada Malatya di utara membawa ke Hatay di Selatan.

Gempa bumi pertama yang berlaku pada sekitar 4.17 pagi waktu tempatan pada Isnin lalu telah berlaku di daerah Pazarcik di Kahramanmaras. Tidak sampai 12 jam setelah itu, gempa kedua yang bermagnitud 7.6 pula berlaku di kawasan yang sama.

Lebih daripada 100 gegaran susulan dilaporkan berlaku setelah gempa bumi tersebut dan para pegawai telah menggesa orang ramai agar tidak memasuki bangunan yang telah terkesan berikutan risiko yang dihadapi.

Manakala ribuan orang lagi turut terkesan di seluruh kawasan berhampiran sempadan Syria iaitu di Aleppo, Idlib, Hama dan Latakia.

Kawasan di Syria yang terkesan dengan gempa bumi itu terbahagi kepada dua iaitu wilayah yang dikuasai oleh kerajaan Syria dan juga wilayah yang dikawal pemberontak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: