Tempatan

PM10 Perlu Adil Bentuk Jemaah Menteri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 November 2022 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu adil dan saksama dalam membentuk Jemaah Menteri, demikian pandangan beberapa ahli akademik yang menyuarakan peri pentingnya perkara tersebut.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menekankan kepentingan melaksanakan kebijaksanaan dalam pemberian portfolio.

“Keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif dan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ini mungkin mempunyai pengaruh berbeza bergantung kepada portfolio dipegangnya,” jelas beliau.

Tambah Azmi Hassan, pengagihan jawatan dalam barisan Jemaah Menteri juga seharusnya mengambil kira kekuatan parti di Dewan Rakyat.

Menurut Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), Jemaah Menteri tidak seharusnya besar seperti sebelum ini tetapi harus terdiri daripada Ahli Parlimen yang “berprestasi dan disenangi”.

“Jika beliau membuat semua langkah yang betul, Anwar akan dilihat sebagai orang yang meningkatkan kestabilan politik negara.”

Wong Chin Huat dari Sunway University pula berpendapat, satu lagi keutamaan Anwar iaitu pengasingan peranan pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara.

Wong juga berkata, Anwar harus mengiktiraf mana-mana Jemaah Menteri bayangan yang dibentuk pembangkang.

Selepas siri pergolakan politik yang berlaku susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyebabkan tiada mana-mana pakatan mampu membentuk Kerajaan Pusat, ia akhirnya membawa kepada tertubuhnya buat pertama kali di dalam negara, Kerajaan Perpaduan.

Beberapa parti antaranya UMNO, sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Selain itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, demi kebaikan negeri Sabah, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: