PM UK Hanya Biar Rakyat Mati Sewaktu Covid – Mantan Ketua Penasihat Saintifik UK
UNITED KINGDOM, 22 November 2023 – Mantan ketua penasihat saintifik London Patrick Vallance telah mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak mahu kerajaan untuk “hanya membiarkan orang ramai mati” berbanding dengan mengenakan sekatan pergerakan kedua sewaktu pandemik Covid-19 lalu.
Perkara tersebut telah dinyatakan pada Isnin lalu menerusi sebuah kenyataan terhadap pegawai dalam siasatan Covid-19.
Sewaktu berlakunya pandemik tersebut, baik Sunak yang merupakan chancellor mahupun Borris Johnson yang sewaktu itu merupakan perdana menteri, masing-masing tidak berpendirian untuk menutup ekonomi sebagaimana yang tertulis dalam tulisan Vallance.
Tulisnya lagi, “Rishi fikir, hanya biarkan orang ramai mati dan ianya tiada masalah. Semua ini dirasakan sangat tidak berkepimpinan”.
Vallance menerusi tulisan diarinya turut mendakwa bahawa Sunak telah gagal untuk berunding dengan para saintis mengenai kempen kontroversinya ‘Eat Out to Help Out’ yang bertujuan untuk memulihkan ekonomi restoran-restoran di Britain setelah sekatan pergerakan yang pertama.
Vallance menegaskan bahawa skim yang dilakukan Sunak itu “adalah cenderung” untuk meningkatan kadar jangkitan Covid-19. Namun Sunak membalas dakwaan itu dengan menyatakan bahawa beliau tidak ingat jika terdapat sebarang bantahan terhadap polisi tersebut pada waktu itu.
Disebabkan tindakan tersebut, Sunak telah digelar ‘Mr. Death’ yang mana panggilan tersebut dimulakan Angela McLean, mantan ketua penasihat saintifik bagi Jabatan Pertahanan.