Tempatan

PM Tak Sokong UEC, Dipercayai Terperangkap – Teo Kok Seong

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 30 November 2022 – “Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak menyokong UEC tetapi beliau dalam keadaan terperangkap.”

Kenyataan itu dikeluarkan Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Dr Teo Kok Seong yang mengulas mengenai isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Hal itu kerana, pemilikan pengiktirafan diperolehi tetapi pengeluaran sijil terus dikelola secara persendirian dan ia melanggar Akta Pendidikan.

“Kerajaan perlu tolak terus UEC. Ahli-ahli politik pun tak bolehlah letak manifesto pasal UEC sehingga memberi harapan palsu dan akhirnya menjerat sendiri. Ini dah macam kaduk naik junjung kerana main politik. Kerajaan sepatutnya awal-awal lagi menoktahkan isu ini,” katanya.

Antara faktor mengapa UEC ini tidak diiktiraf adalah kerana sijil itu dikeluarkan pihak persatuan sekolah menengah persendirian Cina dan bukan oleh Kerajaan. Dan kalau ia diiktiraf, ini seolah-olah menunjukkan sijil itu adalah sijil yang dikeluarkan Kerajaan dan sekolah persendirian Cina jadi sekolah awam.

“Ini macam nak diiktiraf daripada swasta kepada awam pula. Kalau nak diiktiraf, kenapa tak awal-awal masuk sekolah awam.”

Menurutnya, UEC juga tidak mematuhi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum kebangsaan yang termaktub di bahagian IV, sistem pendidikan kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996.

“Kebanyakan anak-anak Cina ada UEC kerana ibu bapa tidak yakin dengan sistem pendidikan kebangsaan yang dikatakan terlalu Malay-centric (berpaksikan Melayu).

Mereka pula taksub dengan budaya Cina, jadi mereka mahukan aliran bahasa Cina, sebab itu mereka tidak boleh terima sistem pendidikan lain,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta supaya Kerajaan mencari penyelesaian dan menggesa ahli-ahli politik tidak memainkan lagi isu UEC ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: