Tempatan

Pelacuran Pelajar Universiti: PN Jangan Diam Seperti PH – Dr Kamarul Zaman Yusoff 

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff mahu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera bertindak membendung kegiatan sugar baby dan sugar daddy yang sedang hangat diperkatakan kala ini.

Tegasnya, PN yang didominasi oleh Melayu Islam tidak sepatutnya mengambil tindakan yang sama sepertimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, yakni tidak melakukan apa-apa pun.

“Sejak 1 Mac 2020, Kerajaan PH telah diganti oleh kerajaan dominasi Melayu Islam yang sepatutnya lebih tegas di dalam mengekang aktiviti kemungkaran seperti yang dibuat oleh Sugarbook ini, oleh itu Kerajaan PN sekarang, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, perlulah mengambil serius pendedahan terbaru Sugarbook bahawa bilangan pelajar universiti yang menjadi sugar baby semakin meningkat disebabkan kesukaran hidup mereka.”

“Di sebalik ketakutan Sugarbook bila melihat gelombang kuat tentangan masyarakat ke atas aktivitinya sehingga ketuanya merayu supaya ia tidak diharamkan, dan di sebalik desakan supaya Kerajaan PH menggunakan undang-undang dan saluran yang ada untuk sekurang-kurangnya memastikan anak-anak muda Melayu Islam tidak lagi mampu untuk dirosakkan secara beramai-ramai oleh pemodal bukan Melayu bukan Islam, tiada apa-apa yang berlaku.”

Dalam nada menyoal penganalisis politik itu bertanya tidakkah kerajaan merasa malu apabila pelajar universiti awam tersenarai dalam ranking 10 ke bawah Sugarbook. Beliau turut bertanya ke mana hilangnya deria malu semua orang.

“Tidak malukah kita bila didedahkan secara meluas bahawa salah satu universiti awam tertua dan paling berprestij kita, iaitu Universiti Malaya, berada di tempat kelima dari segi ranking 10 universiti di Malaysia yang pelajarnya paling ramai menjadi sugar baby dengan bilangan 1,280 pelajar, manakala satu lagi universiti awam kebanggaan golongan bumiputera, iaitu Universiti Teknologi MARA, pula berada di tempat kesepuluh dengan bilangan 704 pelajar?”

“Sudah hilang deria rasakah kita?”

Dr Kamarul sebelum ini pernah mendedahkan mengenai strategi Sugarbook yang mensasarkan pelajar universiti untuk menjadi sugar baby dengan memperkenalkan satu “program pelajar” yang membolehkan pelajar universiti menyelesaikan masalah kewangan mereka dengan memberikan insentif tertentu kepada mereka yang memohon melalui Sugarbook dengan menggunakan e-mail universiti atau dengan memberikan bukti kemasukan ke universiti.

Namun, pendedahannya pada tahun 2018 itu tidak mendapat reaksi daripada pimpinan PH ketika itu, sebaliknya beliau dikecam kerana kononnya memberi publisiti percuma kepada syarikat Sugarbook.

“Begitupun, apa yang berlaku ialah tiada sebarang reaksi positif dibuat oleh Kerajaan PH pada waktu itu, malah ada Menteri Melayu Islam dari AMANAH yang menyelar penularan berita mengenai aktiviti tidak bermoral Sugarbook ini kerana kononnya membantu memberi publisiti percuma kepada syarikat itu sedangkan apa yang dibuat adalah usaha untuk membuktikan dan mencegah kemungkaran yang berlaku supaya dengannya kemungkaran dapat dihapuskan.”

Mengakhiri kata, Dr Kamarul sekali lagi menyeru kepada kerajaan PN untuk mengambil tindakan tegas terhadap Sugarbook sekaligus menyelamatkan anak gadis Malaysia dari terus-menerus terjerumus dalam lembah kemaksiatan.

“Saya menyeru supaya Kerajaan PN mengambil tindakan tegas terhadap Sugarbook, tidak seperti Kerajaan PH yang menyokong dengan memberi ruang kepada Sugarbook melalui BERNAMA.”

“Sedih dan kasihan saya melihat muka gadis-gadis Melayu yang menawarkan diri menjadi sugar baby melalui Sugarbook, marilah kita selamatkan mereka dari terjebak dalam lembah kemaksiatan,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: