Tempatan

PM Minta Beri Masa Untuk Naikkan Gaji Penjawat Awam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 28 Februari 2023 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta semua penjawat awam supaya bersabar berhubung kenaikan gaji dan menangani kos sara hidup.

“Sabarlah sekejap,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah yang Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani.

BACA JUGA: Undi 18, LFL Bantah Tahan Pelajar SPM

BACA JUGA: Gesa Kerajaan Mansuhkan DLP, Kumpulan Dilabel “Ultra-Nasionalis”

BACA JUGA: Luruan Monsun, Hujan Berterusan Dijangka Berlaku Sehingga 1 Mac

Jelasnya, Kerajaan ketika ini tidak boleh bersetuju dengan desakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), termasuk isu kenaikan gaji penjawat awam kerana ia akan meningkatkan defisit negara.

“Apa masalah kita? Hutang negara ketika ini RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus. Kalau kita menambah gaji, defisit akan menjadi 6.5 peratus… tiada orang hendak datang melabur di negara ini kerana tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.”

Tegasnya, tumpuan Kerajaan bawah pentadbirannya ialah menyelamatkan golongan miskin tegar yang berdepan kesusahan untuk meneruskan hidup, berbanding pekerja dalam sektor awam.

“Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja yang ada?”

“Saya hendak beritahu, ia tidak mudah. Pesawah, pekebun kecil getah… ini semua orang susah… nelayan dan kemiskinan tegar. Bagi saya, mereka nak hidup pun susah. Kita sekurang-kurangnya hidup susah, mereka nak hidup pun susah,” katanya.

Terdahulu, CUEPACS berharap Kerajaan menaikkan gaji penjawat awam bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Namun, Belanjawan 2023 baru-baru ini dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat ketika mengulas mengenai Belanjawan 2023 dalam satu kenyataan berpandangan, tiada sebarang komitmen diberikan Kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: