Surat Pembaca

Plandemik Ivermectin: Permohonan Kepada MAAFIM – Dr Mohd Syihabuddin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Ivermectin adalah sejenis ubat anti-parasit yang mendapat perhatian ramai doktor, pakar-pakar dan sebahagian pimpinan negara di seluruh dunia dalam mencari rawatan kepada jangkitan Covid-19. Ianya bermula dengan sebuah kajian in vitro (Caly et al) di Australia yang mendapati bahawa ivermectin boleh membunuh virus Covid-19. Kajian ini seterusnya telah membuka mata ramai doktor dan saintis di seluruh dunia untuk mengkaji ivermectin pada manusia, antaranya saintis di Brazil, Argentina, Amerika Syarikat, Mesir, Indonesia dan tidak ketinggalan negara kita Malaysia serta lain-lain negara.

Walau bagaimanapun, didapati terdapat percanggahan fakta pada kajian in vitro tersebut (Caly et al), dos yang digunakan (5 uM) adalah 9 kali ganda lebih tinggi daripada dos maksimum yang pernah digunakan oleh manusia (0.28 uM) dan 100 kali ganda lebih tinggi daripada dos kebiasaan. Virginia Smicthz (Virginia et al) seterusnya mengulas kajian tersebut, mengikut pengiraan beliau, didapati walaupun dengan menggunakan dos 9 kali ganda tersebut, kepekatan target ivermectin di paru-paru tetap tidak tercapai (2 uM). Ini sebenarnya adalah persoalan utama berkaitan penggunaan dan kajian klinikal ivermectin dalam manusia, adakah kajian-kajian klinikal yang mendakwanya berkesan adalah benar dan tepat? Atau sebenarnya terdapat kesalahan dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan keputusan kajian yang begitu?

Untuk menjawab persoalan ini, kita sebaiknya perlu merujuk kepada data-data kajian klinikal dengan disiplin yang tinggi dan berhemah. Saya tidak nafikan topik ini sebenarnya agak berat bagi orang awam, tetapi saya akan cuba mudah dan ringkaskan agar dapat memberikan kefahaman kepada orang awam tentang isu ini.

Dalam kajian klinikal secara umumnya terdapat beberapa tingkatan kualiti kajian, yang paling rendah dan tidak berkualiti adalah testimoni, contohnya Abu mendakwa adiknya sembuh dengan ivermectin. Sedangkan adiknya mungkin sembuh dengan sendirinya tanpa ivermectin. Di negara lain pula terdapat golongan yang mendakwa air limau atau najis binatang boleh menyembuhkan jangkitan Covid-19, adakah benar dakwaan ini?

Maka untuk mengetahui kebenaran fungsi ivermectin, kajian klinikal yang lebih berdisiplin diperlukan. Dalam banyak jenis kajian klinikal yang dilakukan, kajian jenis systematic review dan meta analysis adalah kajian yang paling berkualiti dan paling tepat data kajiannya. Kajian jenis ini mengumpulkan dan mengkaji kajian-kajian randomized control trial (RCT) – sejenis kajian ‘random’ yang dilakukan untuk membandingkan sekumpulan pesakit yang diberi ivermectin dan sekumpulan lagi tanpa ivermectin, dalam suasana yang terkawal, seperti kajian I-TECH KKM yang masih dalam fasa kajian.

Terdapat beberapa kajian jenis meta analysis dan systematic review melibatkan ivermectin di seluruh dunia. Yang terbaru adalah keluaran Jurnal Cochrane, sebuah jurnal perubatan yang terkemuka dengan impact factor 9.2. Dalam kajian ini (Popp et al), hasil analisis melibatkan 14 kajian klinikal dan 41 kajian klinikal lain yang berkaitan dengan penggunaan ivermectin dalam jangkitan Covid-19, mereka merumuskan bahawa ivermectin adalah tidak berkesan untuk mencegah dan merawat jangkitan Covid-19 berdasarkan bukti-bukti semasa. Saya memuji kajian ini kerana ketelusan mereka dalam analisis, sistem tapisan bias yang berkualiti (Cochrane Risk of Bias Tool 2) dan sistem pengredan untuk menyemak ketepatan data (certainty of evidence, GRADE).

Apabila dibandingkan kajian Cochrane ini dengan kajian meta analysis lain seperti Kory 2021 (FLCCC Amerika Syarikat), Hill 2021, Bryant 2021 dan lain-lain lagi, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas, kenapa berlakunya perbezaan dalam dapatan dan hasil kajian-kajian meta analysis tersebut. Secara umumnya, Kory, Bryant dan Hill tidak tepat dalam pemilihan data daripada kajian-kajian yang dimasukkan dalam kajian mereka, tidak menentukan risiko bias dengan betul dan sistem pengredan tidak dipraktis dengan baik (GRADE). Akibatnya mereka memasukkan kajian yang bias, tidak betul malah terdapat kajian yang tidak amanah dalam mengumpul maklumat (Elgazzar). Seterusnya, ini telah menghasilkan analisis statistik yang salah, statistik yang salah ini telah menyebabkan kesimpulan mereka berbeza dengan kajian daripada jurnal Cochrane, Popp 2021.

Sebagai contoh, kajian Kory 2021 melibatkan 19 kajian RCT dalamnya, terdapat 3 kajian dalamnya yang turut sama diambil oleh Cochrane (Shouman, Podder, Ravikirti), terdapat 7 kajian yang melakukan kesalahan pada bentuk kajian (Behera, Alam, Chala, Rajter, Khan, Gorial, Budhiraja dan Cadegiani), 5 atau lebih kajian yang menggabungkan ivermectin bersama ubat lain atau membandingkan dengan ubat yang tidak berkesan (Mahmud, Spoorthi, Rezai, Chowdury, Hashim) dan kesalahan fatal seperti memasukkan pesakit bukan Covid-19 (Niaee, 30% adalah negatif Covid) dan kesalahan etika yang berat serta plagiat (Elgazzar).

Begitu juga dengan kajian Bryant yang melibatkan 15 kajian RCT dalamnya. Terdapat 11 kajian RCT dalamnya yang turut sama diambil Cochrane, 5 kajian yang menggabungkan ivermectin dengan ubat lain atau membandingkannya dengan ubat yang tidak diketahui keberkesanannya atau tidak berkesan, 1 kajian yang salah bentuk kajian (study design), 1 kajian yang salah subjek dikaji (Niaee), 1 kajian yang ditarik balik (Elgazzar) dan satu lagi kajian yang mempunyai bias tinggi iaitu Schwartz. Dalam kajian Schwartz (Israel) ini terdapat 18% pesakit dikeluarkan daripada kajian, walaupun ujian PCR asal mereka adalah positif, terdapat perubahan pada bentuk kajian yang didaftarkan berbanding dengan bentuk kajian yang ditayangkan dan beberapa lagi masalah lain yang menjadikannya sebagai tinggi bias dan rendah ketepatan data.

Manakala Hill pula melibatkan 24 kajian RCT, pembetulan telah dilakukan tetapi Hill sendiri mengakui terdapat beberapa limitasi pada kajiannya seperti risiko bias yang tinggi. Daripada 24 kajian tersebut, 10 kajian adalah turut sama dipilih oleh Cochrane, 6 kajian yang bermasalah dengan menggabungkan atau membandingkan dengan ubat yang tidak terbukti berkesan atau pun tidak berkesan, 1 kajian salah bentuk kajian, 1 kajian sudah ditarik balik kerana masalah etika dan plagiat

Begitulah juga dengan meta analysis lain seperti Hariyanto et al, Karale et al, Lawrie dan lain-lain lagi. Kajian Popp 2021 (Cochrane) adalah contoh kajian terbaik bagi jenis systematic review dan meta analysis, selain itu terdapat juga meta analysis lain yang baik seperti Roman 2021. Untuk menilai pelaporan dan mendapatkan garis panduan bagi sesebuah meta analysis, terdapat beberapa rujukan yang baik seperti PRISMA (Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses), Quorom Flow Chart, Cochrane Handbook For Systematic Review of Interventions dan sebagainya.

Saya berpendapat kajian-kajian berkenaan penggunaan ivermectin dalam pandemik Covid-19 ini adalah contoh terbaik bagaimana kesilapan boleh berlaku dalam sesebuah kajian dan bagaimanakah kesilapan ini akhirnya menjadi mainan sentimen orang awam dan seterusnya pimpinan politik, seperti apa yang telah berlaku di Brazil. Kerana terlampau percaya dengan ivermectin dan hydroxychloroquine, pimpinan mereka menempelak dan melambatkan program vaksinasi, menempelak langkah memakai topeng, perintah kawalan pergerakan dan sebagainya, dan sebaliknya mereka mempromosi ivermectin serta ubat-ubatan lain yang tidak terbukti keberkesanannya. Hasilnya lebih 500 ribu rakyat Brazil telah meninggal dunia kerana pandemik Covid-19 ini dan dianggarkan 100 ribu kematian dapat dielakkan jika vaksin diberi dengan lebih cepat. Itulah bahana jenayah berkolar putih, kerana kita terlalu mudah percaya dengan angka yang diberikan tanpa melihat dengan lebih teliti.

Akhir kata, semoga Malaysia tidak akan tergolong dalam kumpulan pseudoscience ini dan ianya bermula dengan anda, masyarakat yang membaca, masyarakat yang skeptikal adalah masyarakat yang bijak. Ivermectin masih memerlukan kajian, setakat bukti yang ada di seluruh dunia hari ini, ivermectin adalah tidak berkesan merawat dan mencegah jangkitan dan kematian kerana Covid.

Terima kasih.

Dr Mohd Syihabuddin Bin Mohd adalah seorang doktor perubatan yang sedang dalam proses membuat PhD dalam bidang Health Financing

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: