Tempatan

PKPD Penjara Bentong: MUIP Hulur Bantuan Ringankan Beban

TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbangkan barangan makanan keperluan asas bernilai RM30,000 kepada Penjara Bentong yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan diberikan untuk kegunaan warga penjara dan penghuni pusat kuarantin di penjara terbabit bagi meringankan beban mereka.

“Saya difahamkan penularan COVID-19 di Penjara Bentong kini terkawal sepenuhnya selepas tindakan segera diambil pihak berkuasa sebelum ini, saya mendoakan episod ini tidak berulang.”

Lebih 10 jenis barangan keperluan asas diberikan kepada Penjara Bentong seperti beras, telur, tepung, kicap, biskut, garam, gula, ikan bilis dan lada kering.

Barangan berkenaan akan diagihkan kepada pihak terbabit oleh pengurusan Penjara Bentong.

“MUIP sentiasa prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat negeri ini, bantuan akan diberikan dalam apa juga bentuk seperti barangan keperluan asas, kewangan, tempat tinggal dan peralatan,” tambahnya.

Baru-baru ini, MUIP juga berjaya mengagihkan bantuan peralatan kepada mangsa banjir berstatus asnaf fakir miskin daerah Temerloh siri 1 tahun 2021 yang juga merupakan penerima zakat agensi itu.

Bantuan tersebut disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MaiWP).

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button