Tempatan

PKP Penuh: ERL Henti Sementara Perkhidmatan Sampai 14 Jun

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 03 Jun 2021 – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menggantung semua perkhidmatan trennya mulai Jumaat ini (4 Jun) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara yang mustahak sepanjang tempoh PKP 3.0 dinasihatkan mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka,” kata pihak ERL dalam satu kenyataan.

Tambah ERL, maklumat berhubung pilihan pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati di laman sesawang www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

Orang ramai yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang).

Menurut ERL, keputusan ini dibuat susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula 1 Jun 2021 baru-baru ini.

“Oleh yang demikian, bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut.”

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa hingga 14 Jun depan.

PKP penuh ini dilaksanakan susulan peningkatan kes COVID-19 melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button