Tempatan

PKP 3.0: Warga KL Boleh Solat Raya Aidilfitri – JAWI

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA, 8 Mei 2021- Atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung aktiviti di masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Untuk solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Tarawih dan solat sunat Aidilfitri di Kuala Lumpur yang dikenakan PKP, had jemaah dibenarkan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter serta dilaksanakan di masjid kariah atau surau masing-masing sahaja.

“Aktiviti qiamullail dibenarkan sehingga 100 orang bermula jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Tadarus al-Quran dan majlis khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama, juga dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” kata Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Aktiviti kuliah dan tazkirah secara bersemuka turut dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dan penjarakan 1.5 meter.

“Dan takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid sahaja sehingga jam 10 malam.”

Pada hari raya Aidilfitri pula, aktiviti jamuan selepas solat sunat hari raya, majlis jamuan dan aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan di Kuala Lumpur.

Manakala di kawasan PKPP di Putrajaya dan Labuan, solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Tarawih dan solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan 1.5 meter.

“Syarat untuk aktiviti qiamullail serta tadarus al-Quran adalah sama dengan syarat di kawasan PKP, tetapi takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam.”

“Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan tetapi secara berbungkus, manakala majlis jamuan hari raya tidak dibenarkan. Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan separuh kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter,” tambah beliau.

“Aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit,” kata Datuk Mohd Ajib Ismail.

Kuala Lumpur dikenakan PKP 3.0 bermula 7 Mei 2021 sehingga 20 Mei 2021 dan umat Islam bakal menyambut hari raya Aidilfitri pada 13 Mei 2021.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button