Tempatan

PKP 3.0: JAIS Keluar SOP Baharu Untuk Masjid Dan Surau

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat penjadualan semula jumlah bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau seluruh negeri ini.

Menurut ketetapan baharu ini, seramai 50 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri); Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan masjid pengurusan terdiri daripada 23 pentadbir dan 27 jemaah.

Bagi masjid institusi dan masjid kariah pula, seramai 23 jemaah terdiri daripada pentadbir sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu lima waktu secara berjemaah.

“Bagi surau solat Jumaat, dihadkan kepada 16 jemaah terdiri daripada pentadbir sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu,” ujar Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

“Surau kariah pula hanya dibenarkan untuk menunaikan fardu dengan jumlah 16 jemaah terdiri daripada pentadbir.”

Selain itu, aktiviti kuliah dan tazkirah secara bersemuka hanya boleh dilaksanakan di masjid-masjid yang dibenarkan dengan ketetapan jemaah solat Jumaat atau solat fardu seramai 50 orang.

“Penceramah jemputan boleh dijemput dengan syarat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.”

Pengurusan solat jenazah bukan pesakit Covid-19 adalah dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah atau kaum keluarga terdekat tidak melebihi 25 orang.

Mengakhiri kenyataan, beliau mengingatkan agar pentadbir masjid dan surau terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button