Tempatan

Pitas Diisytihar Daerah Wabak Demam Babi Afrika

KOTA KINABALU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) mengisytiharkan Pitas sebagai daerah wabak Demam Babi Afrika (ASF) bermula semalam berikutan penemuan virus berkenaan dalam babi yang diternak di daerah itu.

Susulan itu, JPVS diberi kuasa untuk mengambil tindakan menghalang penularan penyakit ASF seperti memusnahkan babi di kawasan yang terjejas selain mengawal aktiviti mengangkut dan menjual produk babi yang berasal dari kawasan berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan, pemusnahan babi di kawasan yang terjejas akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan ASF adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan tiada ubat atau vaksin untuk menghalang penyakit berkenaan.

“Pada masa yang sama, premis dan kampung yang dikenal pasti berlaku wabak akan dinyahkuman. JPVS juga akan menjalankan kempen kesedaran bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap penyakit itu.”

“Kaedah kawalan ini akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan.”

“Tujuan utama kita ialah untuk menghalang penularan penyakit ini ke ladang ternakan babi secara komersial di Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau,” kata Datuk Dr Jeffrey yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah.

Tambahnya, kerajaan akan menimbang untuk memberi pampasan kepada penternak babi yang dimusnahkan JPVS berdasarkan kadar yang akan ditentukan kemudian.

Dianggarkan sebanyak 2,500 babi dalam lingkungan 50 kilometer dari Pitas terbabit dalam pemusnahan itu setakat ini.

Leave a Reply

Back to top button