Pindaan Undang-Undang Kewarganegaraan Bakal Dipersembahkan Kepada Majlis Raja-Raja Bulan Ogos
KUALA LUMPUR, 12 Julai 2023 – Kerajaan akan membentangkan cadangan mengenai pindaan undang-undang kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Raja-Raja Ogos ini.
“Ketika ini, Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI sedang menyediakan dokumen pembentangan meliputi kesemua cadangan pindaan daripada Kerajaan dan juga mengambil kira pandangan rakyat Malaysia untuk dipersembahkan di Majlis Raja-Raja yang akan diadakan setelah Pilihan Raya di kesemua enam (6) Negeri selesai,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini.
BACA JUGA: Ternak Ayam Dikandang Babi: Tauke Tiada Lesen Telah Dikompaun
BACA JUGA: Projek Lapangan Terbang Baharu Tioman Hanya Menguntungkan Pemaju-Aktivis
BACA JUGA: Malaysia ‘Negara Melayu’ Selari Perlembagaan, Peguam Gesa Kerajaan Perjelas ‘3R’
Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyatakan bahawa lapan cadangan pindaan telah dikenal pasti berdasarkan dapatan menerusi analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan.
Katanya, sebarang pindaan terhadap Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan serta turut memerlukan persetujuan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka. Pindaan ini memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperolehi kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau lagi.