Pilihan Raya DUN: Ketua Menteri Uttar Pradesh Kekal Kedudukan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
UTTAR PRADESH, 11 Mac 2022 – Yogi Adityanath, calon dari Parti Bharatiya Janata (BJP), parti pemerintah di India menang besar dalam Pilihan Raya DUN yang diadakan pada 10 Mac 2022.
Ketua Menteri Uttar Pradesh itu menang majoriti mudah di kawasannya sendiri, Gorakhpur Urban, Uttar Pradesh dengan undian sebanyak 273 dari 403 undi.
Adityanath dalam ucapan kemenangannya mendakwa, “Orang ramai telah menguburkan politik kasta dan agama dengan memastikan kemenangan BJP dan sekutunya di Uttar Pradesh di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.”
CNBCTV18 melaporkan, Adityanath, yang akan memegang jawatan Ketua Menteri bagi penggal kedua sekali lagi membuktikan beliau merupakan ketua orang ramai selepas Perdana Menteri Narendra Modi.
Aparna Yadav, Ketua BJP menzahirkan kegembiraannya dengan kemenangan Adityanath dan mendakwa kerajaan Jai Shree Ram akan dibentuk.
Jai Shree Ram merupakan ayat bagi memuja sembahan Hindu.
“Hindu-Muslim-Sikh-Isai Sabke Sab Hein Bhaajpayee. Ini adalah jawapan kepada semua yang memecahbelahkan (negara) atas dasar politik reda dan kasta. Kami sedang membentuk kerajaan dengan ‘Jai Shree Ram‘. Kita tidak boleh mendapatkan kerajaan yang lebih baik daripada ini,” kata Aparna.
Selain di Uttar Pradesh, BJP juga memperoleh kemenangan di tiga lagi DUN: Uttarakhand, Goa dan Manipur.
Terdahulu, BJP menimbulkan kerisauan umat Islam apabila mereka menyiarkan poster yang memaparkan karikatur umat Islam digantung beramai-ramai, berserta kapsyen “Tiada simpati bagi mereka yang menyebarkan ketakutan”.
Dalam hantaran di laman Instagram yang telah diturunkan tersebut, akaun BJP Gujarat memuatnaik sebuah karikatur yang memaparkan beberapa orang lelaki berkopiah, berjanggut dan memakai baju sembahyang digantung di leher dengan seakan-akan tali gantung beramai-ramai.