Pilihan Raya: Bayaran Tiket Bas, Ole-Ole, Satu Kesalahan – SPRM
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2023 – Pemberian wang bagi bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya bukanlah satu sedekah sebaliknya adalah suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Hal ini kerana ia boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan calon terbabit.
“Hati-hati jika melakukan kesalahan kerana tukang mengadu ramai dan boleh membatalkan kemenangan mereka jika terbukti.”
BACA JUGA: Perlembagaan Persekutuan Tak Halang Semakan Permohonan Untuk Murtad – Peguam
BACA JUGA: Kerajaan Tawar Kredit e-tunai RM100 untuk B40, M40
BACA JUGA: NGO Gesa Kerajaan Tubuh Pasukan Khas Pantau Artis Luar, Ambil Tindakan Pantas
“Malah jika semua calon ingin menyediakan bas, apa akan jadi ketika pengundi berada di dalamnya, kita tidak tahu apa terjadi dalamnya dan boleh mempengaruhi pengundi untuk mengundi seseorang,” ujarnya.
Selain itu, kata Tan Sri Azam Baki, menjanjikan jawatan untuk pengundi juga adalah dilarang.
“Malah menjanjikan apa-apa jawatan pun untuk (pengundi) mengundi juga tidak boleh kerana apa jadi jika semua orang diberi duit, sudah tentu boleh memenangkan seseorang calon itu.”
Tegas beliau, jangan salahkan SPRM jika tindakan diambil kerana pihaknya hanya menguat kuasa undang-undang sedia ada.
Mengenai pengundi pula, Tan Sri Azam Baki berkata, memberi alasan tidak mahu mengundi jika kos pengangkutan tidak dibayar adalah salah dan seseorang pengundi sepatutnya menunaikan tanggungjawab dengan tidak dipengaruhi mana-mana calon.
Dalam masa sama, pengundi perlu menanam sikap benci rasuah dan jangan menjadikan negara ini hiruk pikuk dengan masalah rasuah terutama dalam kalangan mereka yang ada kuasa.
“Hak kita untuk mengundi dan jika dibayar (tiket pengangkutan awam untuk pulang) ia menyalahi undang-undang kerana tiada ketelusan dalam pilihan raya itu.”
Pilihan Raya Negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan pada 29 Julai ini manakala bagi pengundian awal, tarikh yang ditetapkan ialah pada 8 Ogos.