NGO

PILIH ANGGOTA KABINET BERWIBAWA, ATAU TUBUHKAN SEGERA MAJLIS KHAS PEMULIHAN KRISIS (PULIH) – GABUNG

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1. Kami daripada GABUNG yang disokong 100 pertubuhan Melayu kebangsaan mewakili para pemegang taruh berkepentingan bangsa dari kalangan tokoh masyarakat, ketua-ketua NGO, pimpinan rakyat, bekas Pegawai Kerajaan, golongan akademia, teknokrat, cendiakawan, pendidik, agamawan, petani, peniaga, dan aktivis sosial dengan ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bersempena perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

2. GABUNG ingin menyampaikan suara rakyat yang terus mendesak agar permainan politik di kalangan parti-parti pemerintah dan pembangkang dihentikan demi menjunjung sepenuhnya titah perintah Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

3. GABUNG juga turut senada dengan titah Ke Bawah Duli Tuanku yang bukan sahaja mahukan anggota Kabinet berkelayakan tinggi dan berpengalaman luas, tetapi hendaklah berakhlak mulia, bebas dari kes rasuah atau salah laku moral, dan semestinya seorang pemimpin yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat dan negara.

4. Kerajaan tidak akan dapat mentadbir dengan baik selagimana para pemimpinnya terus dibayangi skandal, dihantui salah laku, kebobrokan akhlak serta ketandusan idea segar dan tindakan yang berwibawa. Justeru, kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri perlu serta-merta menggerakkan jentera pemulihan ekonomi pasca imuniti kelompok bagi menangani ketidaksamarataan ekonomi rentas wilayah, di samping memperbaiki nasib golongan rentan dengan memperkenalkan solusi-solusi yang lebih pro-rakyat. Permuafakatan parti-parti politik Melayu yang kini telah berjaya membentuk kerajaan perlu diperkukuhkan dengan memfokuskan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk oleh COVID-19.

5. Dalam keadaan yang tidak menentu ini, GABUNG berpandangan perlantikan seorang Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu keutamaan yang memberi impak pada rakyat. Begitu juga dengan pembentukan Kabinet yang berskala besar tetapi gagal berfungsi. Menyediakan pasukan Kabinet yang optimum di dalam situasi kesihatan serta kedudukan ekonomi yang kian parah hari ini akan dapat memberikan mesej yang lebih positif di mata rakyat yang rata-rata sudah meluat dengan naratif politik yang membinasakan.

6. GABUNG sebenarnya amat bimbang dengan peningkatan kes-kes jenayah serta pertambahan kes tekanan mental sehingga mampu mencederakan orang sekeliling atau diri sendiri. Begitu juga dengan gelombang baharu kes-kes kebankrapan, kehilangan mata pencarian atau kegagalan perniagaan pasca pandemik di mana golongan Melayu dan Bumiputeralah yang akan paling terkesan. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah berlaku di China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

7. GABUNG terus konsisten untuk menyarankan agar Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara (PULIH) ditubuhkan dahulu sebelum Kabinet dibentuk. PULIH seterusnya boleh dipantau oleh sebuah Majlis Penasihat yang dianggotai semua parti politik yang berada di Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang terhad. Ini juga memberi masa yang lebih untuk YAB membentuk kabinet beliau.

8. Rumusannya, krisis tiga serangkai yang seringkali disamakan dengan peperangan memerlukan kabinet perang yang dianggotai Ahli-Ahli Kabinet yang mahir berperang juga. Sekiranya agenda pemulihan krisis negara sememangnya menjadi keutamaan Perdana Menteri pada hari ini, maka penubuhan PULIH adalah solusi terbaik buat rakyat dan negara berbanding mengambil keputusan untuk terus tunduk kepada tekanan politik dengan melantik pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri. PM perlu fokus “mengetuai pasukan perang” untuk menang “peperangan” ini.

Rakyat & Raja Berpisah Tiada . Daulat Tuanku!

Demi Allah, Untuk Agama Bangsa & Negara.

Bagi Pihak Gabungan Melayu (GABUNG),
Ahmad Yazid Othman
Jurucakap & Koordinator

*Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button