Phuket Laksana Latihan Pemindahan Tsunami 20 Julai Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PHUKET, 14 Julai 2022 – Pihak berkuasa Thailand akan mengadakan latihan pemindahan bencana tsunami di daerah Thalang, Phuket, pada 20 Julai ini susulan kejadian gempa bawah laut di luar Kepulauan Nicobar yang terletak kira-kira 500 kilometer dari pulau percutian.
Gempa bumi di perairan di Pulau Andaman dan Nicobar dengan magnitud 4 hingga 4.9 skala Richter itu berlaku selama tiga hari bermula Isnin lalu.
Selama tiga hari tersebut, lebih 40 gegaran direkodkan berlaku di perairan itu, namun tiada satu pun yang mendatangkan kemusnahan atau menyebabkan paras air laut berubah.
Ketua Pejabat Pencegahan dan Mitigasi Bencana Phuket berkata, angin monsun barat daya yang kuat, hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan air laut memenuhi jalan-jalan di kawasan rendah di sepanjang pantai Phuket, petang Ahad lalu.
“Pusat Amaran Bencana Negara memantau rapat kesemua faktor yang boleh mencetuskan gempa bumi dan tsunami,” jelas beliau.
Gebenor Phuket Narong Woonciew mengesahkan telah memberi arahan kepada pejabat pencegahan dan mitigasi bencana wilayah, timbalan gabenor serta beberapa organisasi lain bagi memantau situasi semasa.
Semua organisasi berkaitan ditugaskan untuk memastikan bahawa pasukan penyelamat dan kesemua peralatan yang diperlukan berada dalam keadaan siap sedia sekiranya bencana tsunami berlaku.
“Kita telah bersiap sedia sejak Phuket dilanda tsunami pada 2004. Kita tidak boleh leka. Kepentingan utama kini adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai.”