Tempatan

Petronas Untung Besar, Meningkat 88% Berbanding Tahun Sebelumnya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Disember 2022 – Petronas mencatatkan hasil dan keuntungan memberangsangkan pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, meningkat 88 peratus kepada RM30.8 bilion berbanding RM16.3 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Pada asas suku tahunan, keuntungan bersih meningkat 33.9 peratus daripada RM23 bilion pada suku kedua tahun ini.

Harga minyak mentah yang kukuh dan ringgit yang lemah membantu melonjakkan hasil naik 60.5 peratus kepada RM99.2 bilion, daripada RM61.8 bilion setahun lalu, kata Petronas dalam satu kenyataan.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, kumpulan itu merekodkan pendapatan yang lebih baik sebanyak RM271.3 bilion, berbanding RM171.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Antara faktor kenaikan pendapatan adalah disebabkan oleh impak harga yang menggalakkan untuk produk utama sejajar dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM77.2 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) berada pada RM130.2 bilion.

Keuntungan besar yang diperolehi itu bermakna pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada Putrajaya tahun ini.

Sebagai pemegang saham tunggal Petronas, Kerajaan boleh menjangkakan lebih daripada dividen RM25 bilion yang diterimanya tahun lepas.

Malah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan menggandakan dividennya kepada Kerajaan kepada RM50 bilion ringgit tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media pada akhir Ogos selepas syarikat itu mengeluarkan keputusan suku kedua.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: