Petani Diminta Daftar Untuk Terima Bantuan Banjir
KUANTAN, 23 Januari 2024 – Kerajaan menyeru semua petani yang terjejas banjir supaya mendaftar di Pejabat Pertanian daerah masing-masing bagi membolehkan proses penyaluran bantuan dilaksanakan segera.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, proses itu perlu dilalui agar memudahkan pihak Jabatan Pertanian mengumpul data untuk dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk penilaian kelayakan.
Arthur berkata, semua data yang diperolehi kemudiannya akan dibawa kepada jawatankuasa untuk meluluskan pelbagai bantuan yang sesuai untuk petani terlibat.
Menurutnya, sehingga kini, kira-kira 2,095 petani terkesan banjir manakala 4,065 hektar kawasan tanaman agromakanan dianggarkan terjejas akibat bencana tersebut di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 72 petani dari negeri ini dengan keluasan terjejas 58.8 hektar,” katanya pada program Sentuhan Agro Madani peringkat Parlimen Paya Besar di Kampung Sungai Atong.
Ujarnya, antara kawasan terjejas adalah di Cameron Highlands, Pekan, Kuantan dan Rompin melibatkan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
Mengulas lanjut jelasnya, Jabatan pertanian sedang dalam proses mengumpul dan mengemas kini data-data berhubung petani terjejas banjir kerana keadaan cuaca yang masih tidak menentu.
“Malah, kita juga sentiasa memantau keadaan kerana kementerian kita mengutamakan tanaman daripada petani tempatan berbanding import daripada luar,” katanya.