Antarabangsa

Peta Islam Austria: Muslim Youth Austria Akan Saman Kerajaan

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

VIENNA, 31 Mei 2021 – Muslim Youth Austria, sebuah pertubuhan Islam terkemuka di Austria bercadang untuk memfailkan saman terhadap kerajaan negara itu kerana mengumumkan mengenai ‘peta Islam’ yang disifatkan berbaur perkauman dan agama.

Peta Islam itu memaparkan lokasi semua masjid dan pertubuhan Islam di seluruh Austria yang dikhuatiri boleh mewujudkan diskriminasi dan stigma buruk terhadap penganut agama tersebut.

“Tindakan menyiarkan semua nama, fungsi, alamat institusi Islam yang dibacakan sebagai mewakili orang Islam telah melangkaui batas yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” demikian kenyataan Muslim Youth Austria.

Dalam masa yang sama, Majlis Perwakilan Islam Austria (IGGOE) juga memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Canselor Sebastian Kurz agar tidak mencemarkan nama baik umat Islam yang tinggal di Austria dengan mewujudkan stigma bahawa golongan itu berpotensi mencetuskan bahaya kepada masyarakat dan undang-undang demokratik di negara itu.

Khamis lalu, Menteri Integrasi, Susanne Raab melancarkan sebuah laman sesawang yang dikenali ‘National Map of Islam’ dengan menyenaraikan nama dan lokasi lebih 620 masjid, pertubuhan dan pegawai yang mungkin mempunyai kaitan dengan badan di luar negara.

Raab mendakwa peta itu bukan untuk meletakkan umat Islam di bawah diskriminasi, sebaliknya memerangi ideologi politik dan tidak melibatkan agama.

Inisiatif itu mengejutkan umat Islam di Austria dan Greens, rakan gabungan parti kerajaan OeVP lebih-lebih lagi setelah berlakunya peningkatan kes membabitkan serangan fizikal dan lisan terhadap umat Islam di negara itu sejak serangan kumpulan pelampau yang menyebabkan empat maut di Vienna November lalu.

Leave a Reply

Back to top button