Tempatan

“Pesta Gay Negara Islam?”

KUALA LUMPUR – “Pesalah yang dalam kes ini, saya difahamkan ia dilakukan melalui satu pesta Gay. Pesta Gay di sebuah negara yang beragama Islam,” kata Prof Dato’ Mahamad Naser Bin Disa dalam Wacana Khas, Isu Semasa, Bidang Kuasa Hal Ehwal Islam di Malaysia: Persekutuan vs Negeri, “Analisa Kesalahan Liwat DUN Selangor Tidak Sah”, semalam.

Ulas beliau, walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kesalahan seks luar tabii di bawah undang-undang Syariah adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan, namun golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) masih lagi boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan 377.

“So, kalau kumpulan LGBT ini merasakan bahawa dia terlepas daripada kawalan hukuman jenayah Syariah, dia jangan lupa bahawa dia masih boleh kena di bawah 377. So dengan 377 ini, insya Allah bukan takat orang Islam sahaja yang akan kena, yang kata tadi kita tidak berlaku adil kepada orang bukan Islam, orang Cina akan kena, orang India akan kena, orang Siam akan kena, orang Rusia akan kena, Matsaleh ke Negro ke, semua, everybody akan kena di bawah 377.”

Tambahnya, apa yang mahu dilihat sekarang ini adalah, sejauh mana kehendak politik pasukan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap golongan LGBT ini.

“Cuma sekarang ini kita nak tengok kepada political will lah. Sejauh mana pasukan Polis Diraja Malaysia ataupun pasukan-pasukan penguatkuasa yang lain prihatin kepada kegiatan LGBT ini? Kegiatan Gay, kegiatan Lesbian yang berleluasa hari ini? Adakah Polis Diraja Malaysia mempunyai kesungguhan untuk mengambil tindakan terhadap mereka ini? Kita jangan ingat bahawa LGBT ini hanya pondan. LGBT ini Gay.”

Dalam masa yang sama, pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu menyatakan, Iki Putra perlu ingat bahawa dia masih boleh dituduh dan disiasat di Mahkamah Sivil di mana hukumannya sepuluh kali ganda lebih berat daripada hukuman di Mahkamah Syariah.

One thing for sure, Iki ni jangan fikir bahawa dia akan terlepas daripada pertuduhan. Maknanya selepas ini kalaulah dia tak boleh dituduh di Mahkamah Syariah, dia masih boleh disiasat dan dituduh di Mahkamah Sivil. Di Mahkamah Jenayah Sivil. Dan hukuman dia, for his information, hukuman dia adalah ten times lebih berat daripada hukuman di Mahkamah Syariah.”

Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman sembilan panel hakim untuk kes rayuan Iki Putra Mubarak lwn Majlis Agama Islam Selangor semalam memutuskan bahawa, peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, hanya Parlimen sahaja yang mempunyai bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Sidang Wacana Khas, Isu Semasa, Bidang Kuasa Hal Ehwal Islam di Malaysia: Persekutuan vs Negeri, “Analisa Kesalahan Liwat DUN Selangor Tidak Sah” anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia diadakan semalam melalui pertemuan atas talian.

Turut serta sebagai panel ialah Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPGM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Kelantan, Tuan Hj Nik Baharum Nik Abdullah, dan Timbalan CEO, IAIS Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil yang bertindak sebagai moderator.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button